MOHAMMAD HAKEEM (tengah) bersama trofi dan sijil yang dimenangi.

Penganjuran Inovasi, Teknologi dan Pameran Penyelidikan (iTREX) diteruskan pada tahun kedua selepas kejayaan pada tahun lalu dengan lebih 50 penyertaan daripada pelbagai peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi.

iTREX 2019 yang bertemakan Smart and Creative Innovation dianjurkan Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat (FSTM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Bagi penganjuran kali ini, enam kategori dipertandingkan iaitu Aplikasi Pengkomputeran dan Mudah Alih; Inovasi Kitar Semula; Kandungan Kreatif dan Multimedia; Seni Kreatif dan Lukisan; Sains Sosial serta Pendidikan Teknologi.

Penganjuran iTREX sebelum ini hanya dibuka kepada pelajar tahun akhir FSTM, tetapi berbeza tahun ini apabila penyertaan terdiri daripada penyelidik, pensyarah dan pelajar sekolah.

Pada tahun ini, anugerah pingat emas bagi kategori Pendidikan Teknologi dimenangi pelajar Diploma Multimedia KUIS, Mohammad Hakeem Zainal Abidin yang membangunkan aplikasi mudah alih dikenali Kit Asas Bahasa Russia.

Aplikasi mudah alih itu dibangunkan sebagai cara untuk mempelajari bahasa Russia melalui bahasa Melayu.

Mohammad Hakeem berkata, idea itu hasil perbincangan bersama pensyarah Jabatan Sains Komputer FSTM, Khirulnizam Abd Rahman.

“Kami bangunkan kit ini kerana mendapati belum ada lagi aplikasi dalam bahasa Melayu untuk mempelajari bahasa Rusia di Google Play.

“Ini adalah versi pertama aplikasi untuk belajar asas bahasa Rusia melalui sistem operasi Android,” katanya.

Katanya, objektif utama pembangunan aplikasi mudah alih itu adalah bagi mewujudkan aplikasi pembelajaran bahasa interaktif yang menggabungkan pelbagai elemen multimedia seperti grafik, animasi dan bunyi bagi membantu proses pembelajaran.

Aplikasi itu dibangunkan menggunakan perisian Adobe Animate CC, Adobe Photoshop Cc, Adobe Illustrator CC dan Adobe Audition CC dengan bantuan pelbagai sumber dari laman web, buku dan individu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 1:52 PM