DR AINI (dua kiri) bersama Dr Dzulkefly (dua kanan) selepas perasmian konvensyen.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor komited dalam melaksanakan kempen dan program antimerokok dalam kalangan warga universiti itu.

Naib Canselor UPM, Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, pelbagai program dilaksanakan untuk membantu pelajar dan kakitangan bebas merokok.

“UPM menjalankan aktiviti kawalan tembakau dan mengajar kursus khas Epidemiology of Non Communicable Diseases dan Prevention and Control of NCDs Risk Factors.

“Kursus khas itu diajar kepada pelajar Master of Public Health, Master of Science dan Doctorate of Public Health dalam usaha membantu kerajaan memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya merokok,” katanya pada majlis Konvensyen Kesedaran Persekitaran Bebas Amalan Merokok sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2019, di UPM, baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang merasmikan konvensyen berkenaan.

Dr Aini berkata, UPM juga menjalankan Perkhidmatan Berhenti Merokok untuk membantu pelajar dan kakitangan yang mahu berhenti merokok.


PESERTA bergambar bersama Dr Aini dan Dr Dzulkefly.

Sementara itu, Dr Dzulkefly mahu usaha murni ke arah mewujudkan kesedaran persekitaran yang bebas amalan merokok terus diangkat dan disokong seluruh rakyat Malaysia.

Beliau berkata, pihak kementerian akan memberi sokongan berterusan dalam penganjuran program seumpama itu.

“Merokok bukan sahaja merugikan kesihatan dan wang ringgit, malah turut menjejaskan produktiviti, ekonomi serta persekitaran masyarakat,” katanya.

Konvensyen kesedaran itu dianjurkan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UPM dengan kerjasama Malaysian Council for Tobacco Control (MCTC), Malaysian Medical Association (MMA) serta Kementerian Kesihatan.

Malah konvensyen itu turut bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan kesan merokok yang menjadi penyumbang utama kematian kira-kira 6 juta penduduk di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 9:49 AM