PELAJAR perguruan ditawarkan peluang pekerjaan bagi yang mengikut program B.Ed.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


KOLEJ perguruan antarabangsa, Kolej Universiti Fairview (UCF) bakal menawarkan peluang pekerjaan bagi pelajarnya yang mengikut program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (B.Ed).

Pengarah Kumpulan Pendidikan Fairview (FIS), Dr Vincent Chen berkata, pihaknya turut menawarkan biasiswa penuh kepada pelajar yang layak bagi mengikuti program berkenaan.

“Kami memahami situasi kekangan ekonomi semasa. Jadi, peluang pekerjaan dan biasiswa ini diharapkan dapat membantu pelajar untuk meneruskan kerjaya dalam bidang perguruan terutama dalam sektor swasta,” katanya.

Beliau berkata, program pengkhususan dalam pendidikan International Baccalaureate (IB) itu satu-satunya program yang ditawarkan di negara ini.

Menurutnya, calon terpilih akan diserap ke dalam pasukan tenaga pengajar FIS yang membolehkan mereka mendapat anugerah sijil mengajar IBO melalui diploma pendidikan (PGDE).

“Sijil yang diiktiraf Kementerian Pendidikan ini membolehkan pemegangnya mengajar di mana-mana IB di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.

Chen berkata, guru IB memiliki kemahiran untuk mendidik pelajar dengan pelbagai kualiti termasuk menguasai maklumat dan imaginasi dalam melaksanakan pendekatan berbeza bagi mencapai kejayaan.

Beliau berkata, FIS terdiri daripada UCF dan sekolah IB terbesar di Malaysia mempunyai kampus di ibu negara, Ipoh, Subang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

“Sehingga Jun ini, ada 5,088 IB di 158 negara di seluruh dunia. Kami juga membuka sekolah di Scotland dan dalam proses melebarkan lagi perkhidmatan ke Indonesia.

“Oleh itu, kita berada di landasan yang betul untuk menyerap tenaga pengajar yang dilatih oleh UCF,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 9:37 AM