PROJEK PEARL dilaksanakan oleh sekumpulan sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa dan alumni jurusan pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (TESL) Universiti Malaya (UM).
Fazurawati Che Lah
fazurawati@mediaprima.com.my


PEMENTASAN Amelia’s Magical Adventure dilakonkan kanak-kanak berusia lapan hingga 11 tahun memukau penonton yang menyaksikan peserta cilik petah melontarkan skrip sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.

Pelakon kanak-kanak hebat itu turut berjaya menjiwai watak diberikan seperti Puteri Raja, Nenek Kebayan, Pak Belang, Bawang Merah dan Bawang Putih dengan ekspresi serta mimik muka penuh penghayatan.

Di sebalik kegigihan itu, mereka sebenarnya adalah peserta daripada projek PEARL iaitu anak daripada keluarga berpendapatan rendah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Seramai 33 murid terbabit dengan pementasan itu yang diinspirasikan daripada jalan cerita filem Magika.

Projek PEARL dilaksanakan sekumpulan sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa dan alumni jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi, Fakulti Pendidikan UM, Dr Adelina Asmawi, berkata projek PEARL yang bermula Mei tahun lalu itu sudah membantu ramai murid menguasai bahasa Inggeris melalui kaedah kreatif dan inovatif.

Katanya, melalui projek PEARL, pelbagai aktiviti dijalankan bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi berbahasa Inggeris peserta melalui kaedah permainan berkumpulan, tontonan video, nyanyian lagu, ‘choral speaking’ dan lakonan drama.

“Idea pelaksanaan program ini tercetus selepas melihat sendiri keperluan yang sangat mendesak dalam kalangan murid miskin bandar untuk mendapatkan bentuk sokongan yang betul bagi meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris mereka.

“Projek PEARL menerima geran penyelidikan komuniti dari Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares) dan dikendalikan sepenuhnya lima orang mahasiswa serta alumni jurusan TESL UM,” katanya yang juga pengasas projek berkenaan.

Dr Adelina memberitahu, mereka turut membina modul sendiri untuk proses pembelajaran dan pengajaran dengan modul itu memenuhi keperluan pembelajaran formal di sekolah yang merangkumi bentuk sokongan tambahan bagi membina keyakinan.

PENGHAYATAN watak puteri kayangan.

“Kami juga berhasrat menerbitkan modul pengajarannya bagi kegunaan dan manfaat sukarelawan, guru serta komuniti miskin bandar yang lain pada masa akan datang.

“Sebenarnya menjadi matlamat projek PEARL untuk memperkasa penggunaan bahasa Inggeris dengan menjadikan proses pengajaran dan pembelajarannya pengalaman yang menyeronokkan serta bermanfaat kepada murid dan guru,” katanya.

Setiap kegiatan projek PEARL turut disertai tahap perkembangan peserta dan diserahkan kepada ibu bapa oleh sukarelawan bagi memastikan mereka mengetahui tahap penguasaan bahasa kedua anak masing-masing.

Peserta, Muhammad Mikhail Imran Zaid, 11, berkata dia teruja mengikuti program PEARL bersama rakan kerana pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk menarik minat terhadap bahasa Inggeris.

“Aktiviti yang dirancang untuk kami mempunyai pelbagai bentuk permainan yang menarik seperti Hot Seats, Hangman Online dan Broken Telephone.

“Semua aktiviti itu mempunyai banyak elemen bahasa Inggeris dalam bentuk tatabahasa dan daftar kata yang dapat kami pelajari melalui aktiviti ini,” katanya yang turut menjadi peserta keseluruhan terbaik bagi projek berkenaan.

Sementara itu, ibu kepada Muhammad Mikhail Imran, Zeti Hayati Mohd Ghazali, 46, berkata dia berpuas hati dengan pembabitan anaknya dalam projek PEARL apabila berlaku peningkatan penguasaan bahasa Inggeris.

Katanya, dia turut diberikan laporan khusus berkenaan pencapaian anaknya dalam bahasa itu yang dibahagikan kepada empat aspek utama iaitu kefasihan dalam berbahasa Inggeris, keyakinan diri, minat dan sikap.

“Bentuk pengajaran dalam Projek PEARL yang menarik, inklusif dan interaktif menyebabkan murid berminat, bersemangat serta selesa untuk belajar.

“Anak saya kini mula berbahasa Inggeris dengan kami dan adik-beradiknya, Mikhail Imran juga lebih suka menonton program televisyen dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Ketua sukarelawan projek PEARL, Zainul Hakim Shazni, berkata selain menjadi platform kepada penilaian tahap penguasaan masing-masing, proses kerja untuk menjayakan pementasan itu juga memupuk nilai diri yang positif seperti budaya kerja berpasukan, toleransi dan keyakinan diri.

“Pelbagai kemahiran sebagai guru diperoleh daripada program ini seperti kemahiran menarik minat pelajar, pengurusan kelas dan komunikasi bersama ibu bapa. Ini semua bakal membantu kami apabila bergelar guru bahasa Inggeris kelak,” katanya.

DR ADELINA (tudung biru) bersama peserta PEARL.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 10:39 AM