DR Abdul Wahab (tengah) bersama Dr Noriah (belakang kiri) bergambar dengan peserta. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
hmdigital

PERSIDANGAN Saintis Masa Depan Antarabangsa (iFSC) 2019 anjuran Pusat GENIUS@Pintar Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi platform melahirkan saintis dalam kalangan generasi muda yang berfikiran aras tinggi.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Datuk Dr Abdul Wahab Mohammad berkata, iFSC mengumpulkan pelajar sekolah rendah dan menengah yang mempamerkan bakat melalui hasil penyelidikan mereka sebelum diiktiraf ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, ada beberapa hasil penyelidikan berkenaan yang diterima baik dan berkemungkinan dapat dikomersialkan apabila wujud keperluan kelak.

“Melalui pendedahan seumpama ini, kita dapat memberi pelajar peluang bekerjasama dengan pensyarah dan profesor ternama untuk menghasilkan penyelidikan terbaik.

“Bertemakan Research Is The Shooting Star, persidangan ini memberi peluang kepada penyelidik muda untuk meneroka dan melonjakkan potensi serta minat mereka.

“Sekali gus mereka dapat menerokai ilmu baharu dalam pelbagai bidang termasuk sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan bukan STEM,” katanya yang turut merasmikan persidangan iFSC 2019, baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Pusat GENIUS@Pintar Negara, Profesor

Datuk Dr Noriah Mohd Ishak.

Sementara itu, Dr Noriah berkata, seramai 250 pelajar dari seluruh negara termasuk luar negara menyertai program kali kesembilan yang berlangsung selama tiga hari itu.

“Bagi tahun ini, sebanyak 36 kumpulan pembentang kertas kerja membentangkan kajian mereka.

“Persidangan ini dapat mengembangkan dan mencungkil bakat, kreativiti serta idea bernas pelajar dalam penerokaan pemikiran penyelidikan muda untuk mendepani Revolusi Perindustrian 4.0,” katanya.

Sehingga kini, seramai 524 pelajar dari 56 sekolah di seluruh Malaysia termasuk antarabangsa menyertai persidangan iFSC sejak 2011.


ANTARA kajian yang dilaksanakan pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 11:19 AM