DR Aldrin (dua kiri) ketika perasmian KOPAAN.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


PENGHASILAN karya terjemahan bahasa China ke bahasa Melayu perlu dipergiatkan demi memperkayakan khazanah ilmu dalam kedua-dua bahasa berkenaan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Aldrin Abdullah berkata, ilmu yang diperoleh itu akan meningkatkan kefahaman dan penghayatan pembaca dunia Melayu terhadap sejarah, falsafah, pemikiran dan budaya China serta sebaliknya.

“Ia juga menjadi wahana penting untuk mengeratkan tali persahabatan dan kerjasama antara Malaysia dan China terutamanya dalam bidang pendidikan dan sosioekonomi,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap mewakili Naib Canselor USM pada majlis perasmian Kolokium dan Pameran Antarabangsa (KOPAAN) 2019: Jalinan Tamadun Melayu-China Melalui Terjemahan di USM, Pulau Pinang.

Katanya, penganjuran kolokium dan pameran itu amat bersesuaian dengan hasrat kerajaan khususnya dalam usaha pengembangan bidang penterjemahan yang semakin diperlukan, sekali gus meningkatkan penerbitan buku serta penyebaran ilmu.

“Kolokium ini dilihat mampu mengeratkan jalinan tamadun Melayu dan China dengan menggunakan terjemahan sebagai platformnya.

“Lebih-lebih lagi, tahun ini adalah ulang tahun ke-45 jalinan hubungan diplomatik Malaysia-China,” katanya.

Beliau berkata, pihak universiti berbangga dengan usaha Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) yang sentiasa komited dan bergerak ke hadapan dalam usaha melahirkan lebih ramai penterjemah dan jurubahasa.

“Mereka ini yang mampu mengisi keperluan tenaga profesional dalam bidang terjemahan dan interpretasi hingga ke peringkat global,” katanya.

Pada majlis yang sama, dua judul buku dalam koleksi khas karya terjemahan bahasa China-bahasa Melayu iaitu Koleksi Konsep Falsafah, Pemikiran dan Budaya China Jilid 1 dan Puisi-puisi Pilihan Dinasti Song dilancarkan.

Koleksi itu dipamerkan di Perpustakaan Hamzah Sendut, USM dengan menghimpunkan karya terjemahan bahasa China-bahasa Melayu dan bahasa Melayu-bahasa China untuk dijadikan rujukan dan bahan kajian pelajar serta penyelidik dari dalam dan luar negara.

Ia dikatakan antara koleksi yang pertama di dunia dan melalui koleksi khas itu dijangkakan USM akan menjadi hab penyelidikan terjemahan khususnya bahasa China-bahasa Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 11:39 AM