DR Rasid (tengah) bersama tetamu yang hadir.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


PERSIDANGAN Pendidikan Kejuruteraan Asia ke-8 (ACEE 2019) anjuran Fakulti Kejuruteraan (FKJ) serta Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Korea Maritime Ocean University yang berlangsung di UMS memberi tumpuan kepada pendekatan inovatif dalam melaksanakan paradigma Pendidikan, Sains, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Persidangan itu menghimpunkan 60 peserta termasuk ahli akademik dari Jepun, China dan Korea Selatan yang bertujuan memberi peluang pertukaran idea, pengalaman dan penyelidikan bersama dalam pendidikan kejuruteraan dalam kalangan pendidik, pelajar serta jurutera di Asia.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr D Kamarudin D Mudin dalam ucapan perasmian berkata, penekanan khusus perlu difokuskan kepada praktikal dalam kejuruteraan inovatif dan pembaharuan dalam model pengajaran, khususnya dalam pelaksanaan paradigma pendidikan STEM.

“Dalam abad ke-21 ini, inovasi dalam pendidikan STEM dijadikan relevan dengan kemasukan projek pelbagai disiplin.

“Ini akan meningkatkan daya saing dalam pembangunan sains dan teknologi serta pembangunan tenaga kerja di Asia, khususnya dalam konteks Malaysia,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof Dr Rasid Mail.

Beliau turut berharap peserta ACEE 2019 mendapat manfaat daripada persidangan itu dan menggunakan kapasiti mereka untuk menyumbang dan meningkatkan pengetahuan dalam bidang STEM.

Persidangan yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKJ, Prof Madya Dr Ismail Saad dan pensyarah kanan FPEP, Profesor Madya Dr Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul berlangsung selama tiga hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 11:00 AM