SHARIFAH Aziema bersama kek lapis yang ditempah pelanggan.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


INDUSTRI perkhidmatan makanan tidak dinafikan menjadi antara pilihan dalam usaha meningkatkan status ekonomi ketika berhadapan kenaikan kos sara hidup.

Rata-rata memilih untuk bergelar usahawan kecil termasuk berniaga secara dalam talian dengan menawarkan pelbagai jenis produk makanan.

Melihat kepada senario dan maklum balas positif masyarakat, GIATMARA di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menawarkan pelbagai kursus dalam bidang yang juga dikenali sebagai seni kulinari.

Sehingga kini, sebanyak 36 pusat latihan GIATMARA menawarkan 72 program dalam bidang masakan, kek dan pastri di seluruh negara.

Bekas penuntut GIATMARA Stampin, Kuching, Sarawak, Sharifah Aziema Wan Hossen, 28, berbangga apabila kemahiran kulinari yang dipelajari 10 tahun lalu di pusat latihan itu kini memberi pulangan lumayan setiap bulan.

“Semuanya bermula pada 2011 apabila hati terdetik untuk menjual kek cawan secara kecil-kecilan di platform media sosial Facebook peribadi.


KULINARI membolehkan graduan bergelar usahawan. FOTO L. Manimaran

“Hasil sokongan rakan yang membantu berkongsi setiap hantaran di Facebook, kek cawan dan beberapa lagi jenis kek menjadi perhatian penduduk setempat,” katanya.

Katanya, perniagaan dalam taliannya itu terus berkembang sehingga dia terpaksa membuka satu laman khas di Facebook yang diberi nama Moma Homemade Cake.

Laman sosial yang mempromosi pelbagai jenis kek dan menu pencuci mulut itu kini mempunyai lebih 100,000 pengikut.

“Saya memulakan perniagaan ini bermodalkan dengan hanya RM500 untuk menjual kek cawan secara atas talian dan ada juga yang dihantar ke kedai rakan.

“Selain itu, saya pernah buka gerai jualan dan sewa tapak,” katanya yang berasal dari Kampung Semerah Padi, Kuching itu.

Bercerita mengenai sambutan dan tempahan yang diterimanya sempena Aidilfitri, Sharifah Aziema berkata, ketika Ramadan lalu, dia menjual purata 100 kek lapis sehari yang dijual dengan harga RM10 setiap satu.

“Sambutan amat menggalakkan. Dalam sehari boleh sampai ratusan tempahan hanya daripada seorang pembeli.

“Saya hanya menerima tempahan kek lapis dengan pilihan lebih 20 jenis, antaranya red velvet, kraker keju, masam manis dan keju beri biru,” katanya.


BIDANG kulinari pilihan kemahiran masa kini. FOTO Hafiz Sohaimi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 5:30 AM