ABADIKAN kenangan selepas program tamat.

Fazurawati Che

PERKEMBANGAN pesat dunia digital hari ini memerlukan guru dan pendidik untuk turut meningkatkan kemahiran pembelajaran abad ke-21.

Sehubungan itu, Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares) dengan kerjasama Kolej Vokasional (KV) Sungai Buloh, Shah Alam, Selangor melaksanakan Modul Pedagogi dan Kurikulum Pembelajaran Abad ke-21.

Taklimat itu memberi peluang kepada guru KV untuk mengembangkan pengetahuan dan kemahiran pedagogi dan kurikulum Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional TVET.

Penyelaras Ketua Program, Prof Madya Dr Norlidah Alias berkata, pelaksanaan modul itu untuk membentuk percambahan pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan guru TVET bagi mengoptimumkan penggunaan teknologi dalam pengajaran serta pembelajaran.

“Pelajar kemahiran dan vokasional perlu didedahkan dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), komunikasi teknikal dan kemahiran lain ke arah perubahan industri serta tenaga kerja pada masa depan.

“Pemahaman guru TVET terhadap ilmu pengetahuan pedagogi dan kurikulum abad ke-21 dapat meningkatkan kemahiran teknologi dan inovasi dalam pendidikan TVET itu sendiri,” katanya.

Seramai 125 guru mengambil bahagian dalam pelaksanaan modul yang membabitkan lima topik utama iaitu Blended Learning dalam Kolej TVET, Pedagogi Abad ke-21, Reka Bentuk dan Pembangunan Modul dalam Kolej TVET, Pembangunan Profesionalisme Pelatih TVET dan Komunikasi Teknikal menerusi Kurikulum TVET yang memberi penekanan kepada konsep pedagogi dan kurikulum abad ke-21.

Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan UM, Dr Dorothy Dewitt yang membentangkan tajuk Blended Learning membincangkan pelbagai media digital boleh diaplikasikan guru dalam pengajaran serta pembelajaran semasa di dalam kelas.

“Penggunaan aplikasi dalam talian seperti Canva, Kahoot dan Polls, secara langsung menarik minat pelajar untuk aktif dalam pembelajaran,” katanya.

Sementara itu, Fasilitator Dr Mohd Nazri Abdul Rahman berkata, penggunaan teknologi seperti Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) dapat membiasakan pelajar TVET dengan dunia pekerjaan dan latihan.

Katanya, penggunaan itu juga membolehkan mereka menghadapi transformasi Industri 4.0 yang mana proses perkilangan direvolusikan.

“Latihan vokasional dalam industri automotif syarikat di luar negara sudah pun menggunakan AR dan VR dalam melatih proses teknikal berkaitan pemasangan bahagian kereta serta memperbaiki kereta.

“Bagi kilang bestari, jangkaan pengeluaran yang berubah boleh dibuat melalui penggunaan teknologi dengan memberi maklum balas serta merta kepada pekilang dengan melaksanakan pesanan bahan sejurus sahaja stok berkurangan, semuanya dengan pemantauan mesin,” katanya.

Beliau berkata, melalui Massive Open Online Courses (MOOCs), pelatih dan guru TVET boleh memupuk minat mereka untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang teknikal.

“Platform seperti Coursera, Udacity dan Udemy membolehkan e-pembelajaran dan m-pembelajaran dilaksanakan secara mudah.

“Menerusi percambahan idea, pengetahuan dan aplikasi kemahiran teknologi digital bersama guru KV diharap memberi impak positif kepada usaha untuk melestarikan pembelajaran abad ke-21 dalam kalangan pelajar kolej teknikal dan vokasional,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 10:45 AM