PENYERAHAN replika cek daripada Bank Rakyat bernilai RM14,000.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) memberi peluang kepada pelajar golongan asnaf sekitar kampusnya untuk memajukan diri dalam akademik menerusi program Tuisyen Rakyat, Asnaf To Asnaf (A2A).

Komuniti sekitar UMT yang rata-rata terdiri daripada kalangan nelayan dan petani kecil perlu diberi perhatian serta peluang pendidikan terbaik kepada generasi pelapis agar dapat mengubah taraf hidup keluarga.

Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud, Dr Riswadi Azmi berkata, program A2A direka khas bagi mewujudkan landasan perkongsian ilmu siswa daripada kalangan asnaf kepada pelajar sekolah yang terdiri dalam golongan sama.

“Dalam program ini, kami membuat beberapa siri ujian saringan ke atas pelajar asnaf UMT supaya boleh diberi latihan secukupnya untuk menjadi tenaga pengajar kepada pelajar melalui tuisyen.

“Siswa Asnaf UMT juga menerima wang sagu hati RM800 setiap seorang sumbangan pelbagai pihak termasuk Bank Rakyat sepanjang dua bulan program ini berlangsung.

“Projek ini dapat membantu pelajar asnaf UMT yang menghadapi masalah kewangan dan pada masa sama mereka turut memberi sumbangan semula dalam bentuk kerja sukarelawan, selain mampu memupuk keyakinan diri ketika melaksanakan tugas mengajar,” katanya.


PESERTA yang terbabit dalam program Tuisyen Rakyat, Asnaf To Asnaf.

Menurut Dr Riswadi, murid yang terbabit dengan program itu disasarkan akan lebih menguasai 3M (membaca, menulis, mengira) di samping meningkatkan pembangunan sahsiah diri serta motivasi untuk terus belajar.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UMT, Prof Dr Che Mohd Ruzaidi Ghazali.

Terdahulu, perasmian itu turut menyaksikan penyerahan replika cek bernilai RM14,400 oleh Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Norashikin Shaharudin.

Raja Kamarul Bahrin dalam ucapan perasmiannya berkata, Model Pembangunan Asnaf yang diperkenalkan itu dapat melatih pelajar meningkatkan kemahiran insaniah dalam diri mahasiswa.

“Saya percaya usaha ini bukan sekadar bantuan sumbangan zakat kepada pelajar, bahkan memberi peluang kepada pelajar universiti untuk menyumbang kembali kepada komuniti.

“Program seperti ini pasti akan meningkatkan daya kepemimpinan, motivasi, keyakinan diri serta daya saing asnaf mahasiswa,” katanya.


SEBAHAGIAN murid yang mengikuti tuisyen rakyat.

Sementara itu, Dr Che Mohd Ruzaidi berkata, seramai 80 mahasiswa asnaf UMT menjadi guru dan mentor kepada 300 murid dari tiga sekolah berdekatan UMT.

Menurutnya, murid menerima pendedahan kepada lima subjek utama iaitu Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam yang dilaksanakan di dewan solat Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT pada setiap sabtu bermula Mac lalu.

Tambahnya, UMT sentiasa komited dengan memastikan kesejahteraan dan pembangunan asnaf dalam kalangan mahasiswa UMT.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 1:29 PM