GURU, Farid Razali 42, mengenakan pakaian pahlawan bersama murid-muridnya di Majlis Sambutan Sempena Hari Guru 2018 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pedah. FOTO Nazirul Roselan.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


GURU ibarat lilin. Tanggal 16 Mei setiap tahun dipilih sebagai Hari Guru di Malaysia.

Tarikh itu sebagai penghargaan kepada guru yang bertungkus-lumus mendidik anak bangsa ke arah kejayaan.

Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi dipilih sebagai tema Hari Guru 2019 peringkat kebangsaan yang jelas menggambarkan golongan itu sanggup berkorban apa saja demi kecemerlangan pelajar.

Bagaimanapun, tahun ini sambutan Hari Guru di kebanyakan sekolah diadakan lebih awal kerana tarikhnya jatuh pada Ramadan.

Melalui perkongsian di laman sosial, pelbagai tema dilaksanakan untuk sambutan Hari Guru, malah sebilangannya tular kerana keunikan busana digayakan pada hari itu.

Melihat situasi itu, rupanya ramai guru bersikap ‘sporting’ sekali gus hilang sekejap watak guru paling garang di sekolah.

Pada tahun ini, berdasarkan gambar yang dikongsi di laman sosial, kebanyakan sambutan Hari Guru diserikan dengan pakaian retro, seragam pelajar, pakaian warisan, pengantin, adiwira dan zaman kesultanan Melayu.

Bukan biasa-biasa pakaian yang digayakan guru kerana ada antara mereka yang mengeluarkan perbelanjaan besar untuk tampil istimewa pada hari bersejarah itu.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) 1 Jalan, Meru, Klang, Selangor, M Khalimi Dalhan mengakui guru semakin berani untuk tampil dengan pelbagai tema yang unik dan ia antara sebahagian terapi kepada pendidik.

Katanya, tidak menjadi kesalahan sekolah untuk memilih tema asalkan majlis itu tidak mendatangkan mudarat dan berunsur perkauman.


SEBAHAGIAN kreativiti guru bagi memeriahkan sambutan Hari Guru.

“Sekurang-kurangnya tema yang dibawa itu menjadi u cara mengurangkan tekanan guru. Malah di situ letaknya perpaduan dalam kalangan guru untuk sama-sama menjayakan hari penting berkenaan.

“Professional Learning Community (PLC) secara tidak langsung berlaku apabila sesama guru berbincang, membuat latihan dan persembahan, sekali gus bakat serta kemahiran guru dapat ditonjolkan,” katanya.

Katanya, bersesuaian dengan konsep guru sebagai pembimbing kerana setiap perkara dilakukan mempunyai mesej dan manfaatnya.

“Kecanggihan teknologi menyebabkan murid sekarang sentiasa ke depan, guru seharusnya perlu seiring supaya tidak dikatakan syok sendiri dan ketinggalan zaman.

“Jadi dengan kepelbagaian tema, menarik lagi minat murid untuk berdamping dengan guru, pelbagai soalan terpacul daripada murid yang kagum dengan pakaian guru, ini sekali gus mewujudkan hubungan baik antara mereka,” katanya.

Sementara itu, guru dari SK Tanah Liat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Noor Azura Mohd Yusoff berkata, beliau akan berusaha memenuhi tema pakaian yang ditetapkan pada sambutan Hari Guru biarpun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk menyewa pakaian.


M KHALIMI memakai pakaian bertemakan juruterbang semasa Hari Guru sekolahnya.

Katanya, menjadi kepuasan apabila hari bersejarah untuk pendidik disambut dengan meriah kerana itu salah satu penghargaan kepada guru.

Malah beliau mengakui sambutan Hari Guru di sekolahnya pada tahun ini bertemakan tradisional tempatan dan antarabangsa.

“Saya memilih untuk memakai busana tradisional masyarakat China. Bagi memenuhi tema kali ini, ratusan ringgit juga dihabiskan bagi mendapatkan hasil terbaik.

“Sebenarnya bukan untuk bersaing siapa paling cantik antara cikgu, tetapi kami mahu tonjolkan sesuatu yang istimewa kepada murid kerana semangat yang ada pada cikgu mampu mempengaruhi murid,” katanya yang hampir 10 tahun bergelar guru.

Menurutnya, persiapan dilakukan tiga minggu awal untuk memastikan busana yang dipakai menepati tema, selain memilih kedai pakaian kustom bersesuaian.


NORIAH (kanan) yang memakai pakaian Maharani Dinasti Ming bersama seorang guru.

“Saya gembira kerana murid begitu teruja dengan pakaian tradisional digayakan kerana kebanyakan kurang mengetahui jenis baju tradisional masyarakat Cina.

“Dari situ, saya dapat sampaikan maklumat secara spontan kepada mereka jenis busana berkenaan,” katanya.

Bagi Guru Besar SK Seri Bintang Utara, Pudu Ulu, Kuala Lumpur, Noriah Ismail pula, beliau gembira apabila sambutan Hari Guru yang bertemakan Pakaian Etnik Sedunia mendapat sokongan penuh dari warga sekolah walaupun guru hingga tidak kisah berbelanja besar untuk busana masing-masing.

“Sebagai pemimpin teratas di sekolah, saya berusaha untuk memberi yang terbaik kepada warga sekolah supaya Hari Guru memberi kenangan kepada mereka.

“Saya sendiri mengeluarkan perbelanjaan RM300 untuk mendapatkan busana Maharani Dinasti Ming. Syukur hampir 99 peratus guru dan kakitangan sokongan turut berbuat demikian bagi memastikan acara itu berlangsung dengan penuh meriah,” katanya.

Katanya, di sebalik kemeriahan Hari Guru terbentuknya perpaduan dalam kalangan warga sekolah kerana setiap cadangan dibincangkan bersama bagi mendapatkan persetujuan semua pihak.

“Bagi menghargai sokongan guru, pelbagai anugerah turut diberikan sebagai tanda sokongan terhadap jasa dan pengorbanan cikgu di sekolah ini,” katanya.

Guru Matematik dari SK Gombak 1, Selangor, Mohd Fadli Mohamed Salleh, berkata sambutan bertema sebenarnya menyerlahkan kreativiti yang menunjukkan guru itu boleh ‘menjadi’ apa sahaja.

“Realiti seharian guru sudah memainkan pelbagai watak walaupun hanya berbaju kemeja dalam menguruskan murid, kelas dan sekolah.

“Tema pakaian pada Hari Guru menjadikan murid sangat teruja dengan penampilan cikgu dan mereka memandang tinggi usaha guru berkenaan. Ini turut meningkatkan keyakinan guru,” katanya.


GURU ‘sporting’ dalam memperagakan tema pakaian masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 12:01 PM