SUHAILI bersama-sama sebahagian murid PPKI yang membuat telur masin.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


SUASANA di bilik masakan Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Kebangsaan (PPKI SK) Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor riuh dengan suara kanak-kanak istimewa yang tidak sabar untuk mencuci telur itik.

Dalam proses mencuci itu, ada telur yang pecah dan menyebabkan sekali lagi suasana menjadi riuh dengan gelak tawa mereka.

Itulah antara situasi proses pembelajaran dilalui 36 murid pendidikan khas sekolah berkenaan untuk menyiapkan projek telur masin.

Guru Pendidikan Khas, Suhaili Abu Bakar, berkata projek telur masin itu dilaksanakan sejak Mac lalu bagi meningkatkan kemahiran kanak-kanak keperluan khas berkenaan.

Katanya, projek kolaborasi dan konsultasi telur masin itu adalah kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta pengusaha telur masin iaitu Zulaikha Abd Majid.

“Kami ajar kanak-kanak ini cara mencuci telur, melakukan sukatan garam dan air yang betul supaya menepati proses membuat telur masin.


RUPA telur masin yang sudah siap.

“Alhamdulillah, mereka sangat teruja dan tidak sabar untuk membuat telur masin setiap kali kami mendapat tempahan dari komuniti luar,” katanya.

Suhaili berkata, sebanyak 1,000 telur masin terjual sejak dua bulan lalu dengan RM8 bagi lima biji telur.

“Hasil jualan ini kita sumbangkan kepada tabung sekolah untuk membeli kelengkapan berkaitan aktiviti PPKI.

“Telur masin ini kami jual kepada ibu bapa dan kakitangan sekolah. Ada antara mereka menempah secara borong untuk dijual semula,” katanya.

Proses pembelajaran itu, katanya, bukan setakat dilakukan di sekolah sahaja, tetapi murid PPKI turut disarankan melakukannya di rumah.


ZULAIKHA memberi tunjuk ajar cara membuat telur masin kepada murid PPKI.

“Kami mahu anak-anak ini mampu berdikari dengan ilmu kemahiran disediakan itu demi kelangsungan hidup mereka.

“Untuk bekerja makan gaji, peluang itu agak sukar, justeru diharap ilmu ini dimanfaatkan dan membantu mereka pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, projek telur masin itu akan diteruskan pihaknya kerana memberi manfaat kepada murid selain dapat meningkatkan keyakinan mereka.

“Kebanyakan murid yang terbabit dengan proses telur masin dari kategori autisme dan masalah pembelajaran.

“Kemahiran yang dipelajari ini memberi pengalaman baru kepada mereka sekali gus meningkatkan kemahiran insaniah terutama dalam aspek keyakinan diri dan komunikasi,” katanya.


MURID turut diminta membasuh telur itik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 11:40 AM