ABU HASSAN memberi kata-kata aluan pada majlis menandatangani MoA antara WUC dengan PRIMS.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


WIDAD University College (WUC) terus komited ke arah memartabatkan institusi pendidikan tinggi negara ke peringkat antarabangsa apabila turut menawarkan program perubatan (MBBS) di kampus pesisir pertamanya.

Penawaran program itu dengan kerjasama Ponnaiyah Ramajayam Institute of Medical Sciences (PRIMS), salah satu institut pendidikan di bawah Ponnaiyah Ramajayam Institute of Science Technology (PRIST) University di Tamil Nadu, India.

Pengambilan pertama bagi program MBBS akan bermula September ini.

Satu majlis menandatangani memorandum persetujuan (MoA) diadakan antara Naib Canselor WUC, Prof Datuk Dr Shohaimi Abdullah dengan Canselor PRIST University merangkap Pengerusi PRIMS, Prof P Murugesan.

MoA itu turut disaksikan Pengarah Eksekutif Kanan, Pendidikan dan Kesihatan Widad Business Group (WBG), Prof Datuk Seri Dr Abu Hassan Asaari Abdullah dan Presiden PRIST University, Dr S Jayarama Reddy.

Prof Shohaimi berkata, kerjasama WUC dan PRIMS membabitkan penawaran program MBBS oleh WUC yang akan menggunakan kemudahan PRIMS yang terletak di East Coast Road, Chennai.

“Selain menawarkan program MBBS, WUC juga akan menawarkan Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan, Ijazah Sarjana Muda serta Ijazah Sarjana Muda Paramedik kepada pelajar dari India dan antarabangsa,” katanya.

Katanya, kuota kemasukan program MBBS di Widad University College Offshore Campus itu adalah 150 orang setiap tahun yang mana bilangan pelajar akan mencapai 750 pelajar menjelang tahun kelima penawaran program berkenaan.

“Menariknya, selain daripada penawaran program akademik, beberapa inisiatif dipersetujui termasuk pertukaran pelajar dan staf antara Widad University College dan PRIMS, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pertukaran idea serta latihan dalam bidang tertentu.

“Dengan kerjasama WUC dan PRIMS ini menjadikan sistem pendidikan negara lebih terkenal di persada antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 11:17 AM