SALAH satu gimik pelancaran di Karnival UNITAR CAREnival 2019.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


UNITAR CAREnival 2019 yang berlangsung di UNITAR International University (UNITAR), Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini meriah apabila dikunjungi ribuan pelajar lepasan sekolah yang merebut peluang menimba sebanyak mungkin berkenaan kursus akademik bersesuaian dengan keperluan industri.

Ketua Pegawai Eksekutif UNITAR, Puvan Balachandran, berkata UNITAR CAREnival 2019 menyasarkan untuk mengetengahkan prinsip terbaharu budaya pendidikan moden universiti berkenaan iaitu CARE yang membawa maksud Kerjasama (Collaborative), Penyesuaian (Adaptive), cerminan (Reflective) dan Keusahawanan (Entrepreneurial).

“Karnival pendidikan berkenaan menjadi platform yang membolehkan pengunjung mengalami sendiri kemudahan terkini kampus yang dipacu nilai CARE sambil berinteraksi dengan kakitangan dan alumni UNITAR.

“Pengunjung dapat memahami dengan lebih baik persekitaran dan kursus akademik universiti, membolehkan mereka menerokai serta mempertimbangkan pilihan terbaik untuk masa depan mereka seperti biasiswa, kursus pendidikan mampu milik dan bantuan kewangan,” katanya.

Beberapa personaliti terkenal, usahawan dan penceramah jemputan seperti pelakon Harith Iskander berkongsi pengalaman berharga berkenaan kerjaya serta pencapaian mereka.

Pengunjung turut dihiburkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti acara e-sukan, kejohanan futsal dan pertunjukan fesyen kasut dan beg tangan daripada jenama terkenal.

Pada majlis itu, UNITAR menyerahkan biasiswa berjumlah RM300,000 kepada atlet sebagai menyokong usaha Majlis Sukan Negara (MSN) dan pemenang pertandingan Reka Bentuk Poster Imagine #URFuture Challenge.

UNITAR turut menjemput orang ramai menyertai Klinik PTPTN UNITAR bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan permohonan pinjaman pendidikan itu bermula hari ini hingga Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 10:27 AM