PENSYARAH pelawat industri yang juga jurutera reka bentuk KTechno membuat penilaian.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


SERAMAI 219 pelajar semester empat dan lima Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kulim, Kedah menyertai Pembentangan, Pameran dan Pertandingan Projek Pelajar Tahun Akhir Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (MEDFEC) 2019, baru-baru ini.

Program membudayakan idea kreativiti dalam kalangan pelajar itu dianjurkan Unit Projek dan Inovasi Pelajar (UPIP) dan pensyarah daripada jabatan berkenaan.

Pengarah program, Wan Nor Shela Ezwane Wan Jusoh, berkata hasil kerja projek pelajar meliputi reka cipta dan inovasi dalam bidang mekanikal, elektrik, elektronik serta komputer.

Katanya, seramai 16 juri terdiri daripada pensyarah JKM turut hadir bagi menilai 56 projek yang dihasilkan pelajar JKM.

“Pameran ini dapat memberi pendedahan berkenaan teknologi sedia ada yang boleh diaplikasikan ke dalam kehidupan manusia.

“Antara yang dipamerkan, termasuk reka cipta baharu seperti mesin, produk pengguna dan sistem automasi yang boleh dipraktikkan dalam kegunaan seharian,” katanya.

Sementara itu, penyelaras projek, Siti Hajar Ismail berkata, MEDFEC 2019 menjadi landasan bagi memastikan pelajar menterjemahkan ilmu yang diperoleh melalui projek dihasilkan.


PENGARAH PTSB, Yusma Yusuf melihat projek terbaik Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Portable Pneumatic With Augmented Reality.

Katanya, kemahiran dan pengetahuan yang dipelajari sepanjang tempoh pengajian di PTSB diukur melalui penghasilan projek akhir.

“Melalui MEDFEC, pelajar mampu menilai kemampuan diri sendiri dalam menguasai kemahiran bagi bidang yang diceburi.

“Selain menjadi pemangkin untuk meneruskan kerjaya dalam bidang masing-masing, peningkatan kerjasama dan keyakinan diri yang diperoleh pelajar bermanfaat untuk proses temu duga serta alam pekerjaan nanti.

“Maka dengan ini, hasrat politeknik untuk melahirkan pelajar yang berpengetahuan dan berkemahiran akan tercapai,” katanya.

Dia berharap MEDFEC mampu membuka mata pemain industri dalam menilai kemampuan pelajar politeknik menghasilkan inovasi yang mempunyai nilai komersial untuk diketengahkan.

Majlis perasmian MEDFEC 2019 itu disempurnakan Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PTSB, Mohd Zamri Hamid.

Pelbagai kategori dipertandingkan bagi merangsang penghasilan projek terbaik melalui Anugerah Poster Terbaik, Pembentangan Terbaik, Inovasi Terbaik, Projek Berpotensi Dikomersialkan, Penyelidikan Terbaik dan Projek Terbaik Keseluruhan ICE V7.

Mohd Zamri berkata, pameran berkenaan diharap menjadi medan perkongsian idea dalam kalangan pelajar berkaitan inovasi terkini berasaskan sains dan teknologi.

“Selain itu, kita berharap dapat mencungkil bakat baharu yang mampu mencipta nama sebagai pereka muda serta memberi manfaat kepada masyarakat dan negara suatu hari nanti,” katanya.


SESI perkongsian daripada pensyarah pelawat industri yang juga penyelidik SIRIM bersama pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 10:14 AM