DIKIR barat menarik perhatian penonton.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


PASUKAN Dikir Barat Gema Warisan HIMSAK di bawah persatuan Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor memilih pendekatan dakwah melalui dikir barat sebagai cara mendekati masyarakat di Aceh, Indonesia.

Melalui program pengantarabangsaan Perjalanan ke Banda Aceh Dikir Zikir (Agama, Budaya dan Masyarakat) baru-baru ini, seni dikir barat disampaikan secara kreatif menerusi konsep dikir zikir supaya sesuai dan mudah diterima penghuni rumah anak yatim, Rumoh Sejahtera Aneuk Nanggroe, Banda Aceh.

Penasihat kumpulan Dikir Barat UiTM Shah Alam, Mohd Zul Azri Harun, berkata Aceh sudah tidak asing lagi bagi mahasiswa UiTM kerana sering dijadikan lokasi program antarabangsa.

“Meskipun begitu, kami melihat kebanyakan konsep program yang diadakan sebelum ini lebih menjurus kepada bentuk khidmat masyarakat menyebabkan kami cuba mencari idea yang sesuai supaya seni budaya dikir barat dapat diperkenalkan di sana.

“Idea dikir zikir ini dilihat sangat sesuai untuk merealisasikan hasrat kami memperkenalkan seni warisan popular di Kelantan kepada penduduk Aceh dan pada masa yang sama memberi mereka peluang menikmati keunikan hiburan dalam konteks yang dibenarkan agama,” katanya.

Sepanjang persembahan berlangsung selama hampir dua jam, pelbagai lagu yang dimainkan dalam konsep dikir zikir bagi menerapkan unsur agama dan kemasyarakatan dalam kesenian warisan itu.


ACARA bersama kanak-kanak meriah.

Selain persembahan dikir barat, beberapa aktiviti lain turut diadakan, termasuk menyediakan perpustakaan mini di Rumoh Sejahtera Aneuk Nanggroe dengan bahan bacaan di pusat sumber itu juga memfokuskan kepada elemen agama, budaya dan masyarakat.

Sementara itu, pengarah program, Muhammad Shafiq Aiman Mohd Zuki berkata, melaksanakan program pada peringkat antarabangsa bukan sesuatu yang mudah bagi persatuan pelajar kerana banyak aspek yang perlu diambil kira.

“Saya bersyukur kerana program ini dapat dijayakan dengan baik, hasil komitmen berterusan daripada semua ahli jawatankuasa program.

“Selain kunjungan rumah anak yatim, kami juga berpeluang menganjurkan sesi bicara intelek di Universitas Syiah Kuala sebagai platform untuk bertukar pendapat serta pandangan berkenaan peranan mahasiswa dalam konteks agama, budaya dan masyarakat,” katanya.

Bendahari program, Nur Anis Hazwani Mohd Hashim, berkata kunjungan itu memberikan pengalaman yang tidak ternilai kepada semua peserta kerana dapat mempelajari pelbagai ilmu berkaitan budaya masyarakat di nusantara, khususnya Aceh.

“Program ini juga mengajar saya untuk sentiasa bersyukur dengan setiap ketentuan dan takdir yang Allah tentukan dalam kehidupan kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 9:17 AM