AFRINA Az-Zahra Kamarul Arifin, 10, (kanan) berkongsi bekal makanan dengan kawan baiknya, Syazafilza Shaharudin, 10, (kiri) di kantin Sekolah Kebangsaan Kampung Tun Razak, Bukit Katil. FOTO Khairunisah Lokman
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


TULAR baru-baru ini murid yang juga anak doktor dan pensyarah berkongsi bekal makanan atau lebih dikenali bento yang dibawa ke sekolah.

Situasi itu mendapat pujian daripada netizen yang beranggapan membawa bekal makanan disediakan ibu di rumah masih tidak ketinggalan zaman ketika ini.

Bento, bekal makanan tengah hari berasal dari Jepun. Gaya penyusunan makanan yang diletakkan dalam bekas menampakkan keceriaan dan boleh memikat selera.

Dipercayai bento wujud sejak abad ke-15 di Jepun. Bento mengandungi makanan yang memenuhi keperluan khasiat asas manusia seperti serat, protein dan karbohidrat.

Hidangan bekal kreatif ini semakin popular kerana ia bukan sekadar bekal makanan biasa sebaliknya disediakan dengan cara kreatif dalam pelbagai rupa.

WATAK kartun menarik selera makan anak.

Dalam keperluan persekolahan, bento sebenarnya penyelamat kepada murid terutama murid Tahun Satu yang masih belum dapat menyesuaikan diri dengan suasana kantin.

Hal itu diakui seorang bapa dari Kampung Laut, Tumpat, Kelantan Wan Muhammad Hafiz Abdul Satar, 41, yang menyediakan bento untuk anaknya sebaik melangkah ke Tahun Satu.

Katanya, faktor itu menyebabkan dia mengambil keputusan memasak setiap hari untuk dibekalkan kepada anaknya sejak hampir tujuh tahun lalu.

“Kanak-kanak Tahun Satu masih tak biasa dengan suasana di kantin sekolah. Mereka merungut setiap kali waktu rehat apatah lagi terpaksa berebut membeli makanan kantin.

“Ketika usia ini, mereka masih lagi memilih dalam hal berkaitan makanan menyebabkan makanan di kantin dianggap tidak menyelerakan berbanding di rumah,” katanya.

KREATIF dan comel bento yang disediakan.

Oleh itu, dia mengambil keputusan untuk menyediakan bento kepada dua anak iaitu Wan Muhammad Irfan Kalis, 14, dan Wan Muhammad Ikhwan Harith, 12.

Katanya, seawal jam 5.00 pagi dia bangun untuk menyediakan bekal kepada anaknya termasuk untuk isteri dan dirinya.

“Selalunya bekal yang disediakan mengikut selera anak-anak, sebelum tidur saya akan siapkan bahan yang akan dimasak pada pagi esoknya.

“Selain puas dapat menyediakan bento kepada anak, saya tidak perlu risau tentang apa yang mereka makan kerana makanan dibekalkan adalah berkhasiat dan bersih,” katanya yang turut mempunyai seorang lagi anak iaitu Wan Zahratul Isyraq Iman, 5.

Wan Muhammad Hafiz juga tidak lokek untuk berkongsi menu bento di laman sosial sehinggakan pengurus resort itu menjadi perhatian di laman sosial dek kerap berkongsi pelbagai

resipi makanan.

Bagi kanak-kanak, bento bukti kasih sayang si ibu. Nampak mudah tetapi perlukan idea berterusan supaya anak tidak dihidangkan daya kreativiti sama.

WAN Muhammad Hafiz bersama tiga anaknya.

Apatah lagi dari segi penyediaan bahan, ia bukan saja kreatif tetapi lengkap dengan nutrisi diperlukan seorang kanak-kanak, barulah penyediaan bento itu mencapai matlamat.

Guru dari Johor Bahru, Norezlin Sulaiman, 39, memilih untuk menyediakan bento kepada anak-anak sejak tiga tahun lalu sebagai hubungan berterusan antara ibu dan anak, selain memudahkan urusan anak ketika waktu makan di sekolah.

Katanya, dia gemar memilih watak kartun untuk dijadikan bento untuk empat anaknya, selain menyelitkan nota kecil dengan kata-kata semangat dan kasih sayang.

“Masa dengan anak di rumah tak banyak sebab bekerja, jadi dengan menyelitkan nota inspirasi itu dapat mengukuhkan kasih sayang antara kami,” katanya.

Norezlin berkata, amalan membawa bento ke sekolah turut membantu anak-anaknya untuk belajar menyimpan wang.

“Saya masih membekalkan anak dengan wang saku di sekolah kerana risau ada makanan yang mereka terliur.

“Tapi biasanya wang itu tidak diusik, selepas mereka pulang dari sekolah, wang terus dimasukkan ke dalam tabung,” katanya.

Katanya, walaupun sering menyediakan bento sejak anak berusia tujuh tahun, dia juga sering merujuk Internet bagi mendapatkan idea dan resipi dalam penghasilan bento anaknya.

“Sekurang-kurangnya anak tidak jemu apabila bekalan setiap hari bertukar menu dan cara hiasannya,” katanya yang sering juga menyediakan bento dalam kuantiti yang banyak bagi membolehkan anaknya berkongsi makanan dengan rakan.

NOREZLIN

Sementara itu, kakitangan swasta, Naslinda Nasbah, 43, berkata, bento penyelamat kepada anak yang cerewet dalam pemilihan makanan.

Katanya, anaknya yang masih di tadika seorang yang memilih dalam makanan sehingga tidak gemar makan makanan yang disediakan di sekolahnya.

“Bagi memastikan dia mendapat makanan yang seimbang, saya sediakan bekal yang ringkas dan berkhasiat.

“Selalunya saya bekalkan pasta, roti, kek atau biskut yang boleh mengenyangkan mereka sepanjang berada di sekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 10:57 AM