SEKOLAH turut menerima tong sampah kitar semula daripada AEON.
Ruwaida Md Zain
bh@news.com.my


SEBANYAK 1,000 anak pokok berjaya ditanam murid Sekolah Kebangsaan (SK) 1 Jalan Meru, Klang, Selangor sempena program AEON Clean and Green SK 1 Jalan Meru, baru-baru ini.

Guru Besarnya, M Khalimi Dalhan berkata, pokok yang ditanam itu membabitkan lima jenis pokok herba dan 10 jenis pokok renek.

Beliau terharu dan menghargai usaha AEON Co (M) Bhd yang memilih sekolahnya untuk menjalankan program berkenaan kerana pendidikan bukan hanya di dalam kelas.

Malah ia meliputi persekitaran terutama selepas kejadian pencemaran alam di Pasir Gudang, Johor, baru-baru ini menjadikan program itu sangat signifikan.

“Selain menanam pokok, ada aktiviti mengecat dinding di bahagian depan pagar sekolah termasuk perhentian bas, cat mural motivasi sekolah dan pembersihan membabitkan beberapa lokasi yang diperlukan.


Sukarelawan AEON serta murid menyertai aktiviti menanam pokok pada Program AEON Clean & Green di Sekolah Kebangsaan 1 Jalan Meru, Klang. -Foto FAIZ ANUAR


“Sekolah turut menerima dua set tong sampah kitar semula bagi plastik, kaca dan kertas. Dengan sumbangan ini memberikan inisiatif kepada sekolah mengadakan program lanjutan bersama murid-murid,” katanya ketika ditemui selepas program yang dianjurkan buat julung kali di sekolah berkenaan.

Turut hadir, Pengurus Bahagian CSR AEON Co (M) Bhd, Fansuri Alias dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Mohd Azam Taib.

M Khalimi berkata, program itu membabitkan semua murid, guru dan PIBG SK 1 Jalan Meru serta SK 2 Jalan Meru.

Beliau berkata, program berkenaan tidak terhenti pada hari itu sahaja, sebaliknya pengajaran berterusan kepada murid akan diberikan berkenaan apa yang dilakukan termasuk cara menanam pokok dan mengecat dengan betul menggunakan peralatan lengkap.

Katanya, selalunya aktiviti berkenaan hanya boleh diterangkan melalui pengajaran di dalam bilik darjah semata-mata berikutan membabitkan kos yang tinggi, selain tiada peruntukan untuk tujuan itu.


TEMPAT menunggu bas turut dicat oleh murid dan sukarelawan AEON.

“Hari ini kita boleh lihat semua murid seronok dan teruja sebab dapat buat sendiri. Tambahan pula mereka anak-anak semi urban, jadi ini pengalaman dan pelajaran baharu serta kajian lapangan buat mereka.

“Mungkin murid sekadar guna sarung tangan, penutup hidung dan mulut sedangkan ia berkait rapat dengan kebersihan, keselamatan diri, kawan, cara guna peralatan dengan betul, cara dan tempat simpan barang, itu kita akan tekankan,” katanya.

Pada masa sama, M Khalimi berharap usaha AEON itu akan menjadi ikutan pihak swasta lain mahupun kerajaan dalam usaha memupuk rasa cinta terhadap alam sekitar.

Katanya, pengurusan AEON bukan sekadar menyampaikan sumbangan, malah mereka turut bergotong-royong, selain datang membuat persiapan sejak seminggu lalu.

Sementara itu, Fansuri berkata, SK 1 Jalan Meru adalah sekolah kelima yang terpilih untuk program terbabit.


MURID mengecat dinding di pekarangan sekolah.

Beliau berkata, AEON dengan alam sekitar sangat sinonim kerana falsafahnya adalah memupuk semangat cintakan alam sekitar, malah, setiap kali pembukaan Aeon di setiap lokasi akan diikuti dengan penanaman pokok bersama-sama pelajar dan penduduk setempat.

“Kita juga memupuk semangat cintakan alam sekitar sejak awal lagi, sebab itu kita pilih sekolah rendah dan sekolah menengah kerana misi jangka panjang kami mewujudkan pemimpin yang peka dengan pemuliharaan alam sekitar, bukan sekadar pemimpin yang inginkan keuntungan semata-mata.

“Kami mahu mereka tahu kenapa perlu jaga alam sekitar, sebab itu kami anjurkan program sebegini bersama kakitangan AEON dan kami mendapat tunjuk ajar daripada Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 10:55 AM