SEBAHAGIAN peserta yang hadir.

SERAMAI 140 murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 4 (SKTU4), Skudai, Johor, diberi pendedahan untuk menjalani dan merasai pengalaman kehidupan mahasiswa menerusi program Motivasi Pelajar Saya Seorang Graduan (SSG) anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Program sehari itu dianjurkan Jabatan Perakaunan dan Kewangan (JPK), Azman Hashim International Business School (AHIBS) bertempat di Dewan Konvensyen fakulti itu.

Majlis dirasmikan Dekan AHIBS, Prof Dr Nur Naha Abu Mansor dihadiri kira-kira 350 orang termasuk Guru Besar SKTU4, Zulkarnain Masrin, guru-guru SKTU4, ibu bapa serta semua pensyarah JPK fakulti itu.

Prof Nur Naha berkata, pelajar meluangkan masa di UTM bagi menghayati persekitaran dan suasana pembelajaran di kampus lestari itu serta merasai sendiri pengalaman sebagai mahasiswa iaitu menghadiri kuliah, membuat tugasan dan bekerja secara berkumpulan.


PELAJAR turut menerima skrol seperti majlis graduasi.

“Pelajar diberi pendedahan penekanan dari aspek motivasi, kecemerlangan, perkongsian pengalaman dan peluang kerjaya selepas bergelar graduan supaya lebih bersemangat dan fokus terhadap pembelajaran demi mencapai kejayaan dalam kehidupan.

“Pada akhir program, pelajar diraikan dalam majlis graduasi dan diberikan sijil penyertaan dalam bentuk skrol,” katanya.

Program SSG ialah sebahagian program khidmat masyarakat yang bertujuan untuk memberi ilmu dan motivasi kepada pelajar yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) agar lebih bersedia dari segi mental serta fizikal.

Antara acara yang diadakan ialah sesi ceramah kepada pelajar yang disampaikan pensyarah AHIBS merangkumi Kehidupan; Penetapan Objektif dan Matlamat Minda: Saya Seorang Graduan dan taklimat motivasi kepada ibu bapa iaitu Menuju ke Menara Gading: Kepentingan Sokongan dan Galakan Keluarga serta Rahsia Keibubapaan.

Program itu turut mendapat pengiktirafan lima bintang oleh instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) sebanyak empat kali berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 6:30 AM