NOR Azimah bersama pemenang.
Nas Norziela Nasbah
nasnorziela@bh.com.my

BUSINESS Pitching anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sempena siri jelajah Program 1st Student Entrepreneurship (1st Step) peringkat Negeri Sembilan ternyata membantu pelajar aliran teknik dan kolej vokasional (KV) untuk mendalami bidang keusahawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner berkata, pertandingan Business Pitching bertujuan memberi peluang kepada pelajar menggunakan ilmu keusahawanan yang diperoleh sepanjang program berlangsung.

Katanya, penganjuran 1st Step pula untuk memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar, turut diadakan seminar ilmu keusahawanan, perkongsian pengalaman bersama usahawan berjaya, seminar memulakan perniagaan, taklimat agensi dan pameran.

“Program ini juga memberi peluang kepada pelajar menjalankan perniagaan dengan menyediakan 60 gerai di tapak yang disediakan.

“Selain itu, pelajar diberi pendedahan ilmu memulakan perniagaan, modul dan taklimat oleh agensi kerajaan yang diwujudkan untuk membantu usahawan serta bakal usahawan,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) SSM, Nor Azimah Abdul Aziz.

Turut hadir, Pengarah Pengoperasian Sekolah (Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional), Zainureen Mohd Nor; Pengarah Bahagian Strategi dan komunikasi Korporat SSM, Mohamad Shahren Mohamad Yusri; Pengarah SSM Negeri Sembilan, Rashidan Abd Rashid dan Pengarah KVPD, Abdul Razak Ismail.


PESERTA bersorak sebaik diumumkan menjuarai pertandingan Business Pitching.

Pertandingan Business Pitching menyaksikan, KV Undang Haji Muhammad Sharip yang menampilkan produk sabun kecantikan muncul sebagai juara, sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000 dan layak ke pusingan akhir di KV Sungai Buloh, Jun ini.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai RM800 dan RM500, dimenangi KV Ampangan dengan produk mesin membuang sisik ikan serta KV Datuk Lela Maharaja dengan produk baja tanaman.

Seramai 1,500 pelajar aliran teknik dan vokasional seluruh Negeri Sembilan menyertai siri jelajah 1st Step itu yang memasuki tahun kedua diadakan dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

Zahrah berkata, SSM turut memperuntukkan sebanyak RM22,800 zakat korporat yang diagihkan kepada 104 pelajar golongan asnaf (RM200 setiap seorang) dan bakinya pula disalurkan kepada Surau Al-Abrar, KVPD.

“Kepada golongan bukan beragama Islam, SSM turut menyediakan peruntukan sebanyak RM8,800 yang diagihkan kepada 44 pelajar yang layak (RM200 setiap seorang) sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami.

“Peruntukan ini bertujuan meringankan beban kewangan penerima, selain memenuhi keperluan harian masing-masing. Kami berharap agar penerima memanfaatkan pemberian ini untuk dibelanjakan dengan sebaiknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 6:00 AM