SEBAHAGIAN penari ADT.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

GERAK tari tarian tradisional yang lemah lembut sememangnya diterima sebagai simbolik nilai sopan santun yang tinggi dalam budaya masyarakat Melayu.

Tidak hairanlah persembahan tarian tradisional banyak dipersembahkan di pelbagai majlis rasmi dan keramaian selain menjadikannya buah tangan paling bernilai apabila berpeluang memperkenalkan kesenian Malaysia di luar negara.

Kumpulan tarian tradisional dan moden iaitu Asbari Dance Theater (ADT) ditubuhkan sejak 2013 bagi menampung sebahagian keperluan itu.

ADT kini dianggotai 20 penari yang terdiri daripada mahasiswa dan graduan Pusat Kebudayaan Universiti Malaya (UM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Sekolah Seni Malaysia.

Pengajar di Pusat Kebudayaan UM, Mohd Hairil Anuar Bari berkata, penubuhan kumpulan itu asalnya untuk menjadi platform kepada pelajar mendapat pendedahan dalam bidang tarian dan persembahan.

“Namun dengan sokongan pelbagai pihak, pelajar dan graduan mula memahami kemahiran serta pengalaman yang ada boleh dijadikan tapak pembinaan kerjaya pada masa hadapan,” katanya.

Katanya, ADT yang dianggotai penari daripada pelbagai latar belakang jurusan pendidikan dan keturunan menyertai pelbagai program dalam serta luar negara, meliputi program berbentuk akademik sehinggalah kepada yang bersifat komuniti.

“ADT berazam terus menyumbang kepada generasi muda yang berkemahiran dan berbakat dalam bidang tarian tradisional supaya keindahan seni persembahan ini dapat diketengahkan kepada khalayak ramai menerusi penyertaan di dalam dan luar negara.

“Saya yakin kumpulan ini mampu menjadi penanda aras kepada mereka yang berminat untuk menjadikan bidang tarian sebagai kerjaya yang bukan saja menghibur, malah turut membantu proses pembinaan masyarakat yang menyayangi dan menyanjungi budaya,” katanya.

Antara penyertaan ADT termasuk persidangan antarabangsa seperti 18th Asia-Oceania Congress of Medical Physics & 16th South East Asia Congress of Medical Physics anjuran UM dan 6th British Council New Directions in English Language Assessment Conference anjuran British Council.

Kumpulan itu turut menjadi penyeri utama pada Majlis Santapan Diraja sempena Malam Jubli Emas Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan mewakili negara ke MUARA Dance Festival di Singapura.

Mereka turut terpilih mewakili negara ke Gelar Seni Serumpun, sempena Festival Bumi Sri Gemilang, program tahunan anjuran Kabupaten Indragiri Hilir, Riau, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 12:10 PM