DARI kiri, Muhammad Azuan, Mohamad Firdaus dan Azril yang menerima tajaan Yayasan Sime Darby.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

EMPAT atlet paralimpik negara yang berjaya mengharumkan nama Malaysia ke peringkat antarabangsa bersyukur menerima biasiswa pengajian daripada Yayasan Sime Darby (YSD) sejak setahun lalu.

Atlet paralimpik yang bertuah itu adalah tiga dari Universiti Malaya (UM) iaitu Azril Che Ibrahim, 26; Mohamad Firdaus Ngatiman, 26; dan Muhamad Azuan Abdul Rasiad, 22; manakala Mohamad Asri Arshad, 24, dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Masing-masing menerima biasiswa kategori Special Needs Bursary untuk perbelanjaan yuran akademik dan sara hidup sehingga tamat pengajian.

Mohamad Firdaus yang mengalami masalah penglihatan bersyukur kerana biasiswa berkenaan banyak membantu meringankan beban ibu bapa untuk menampung perbelanjaannya di kampus.

Dia yang berada di tahun tiga bagi program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu berkata, penajaan biasiswa itu menjadi penguat semangatnya untuk terus menjadi mahasiswa dan atlet paralimpik terbaik.

“Saya perlu menjadi contoh terbaik kepada keluarga serta terus menyumbang kepada negara. Biarpun perlu menggalas dua tanggungjawab dalam masa sama, bantuan YSD ini membakar semangat saya untuk terus bergelar mahasiswa cemerlang dan atlet negara yang hebat,” katanya.

Mohamad Firdaus menyertai sukan olahraga negara sejak 2013 dengan banyak memenangi perlawanan di dalam dan luar negara seperti Sukan Para ASEAN, Para Sukan Malaysia (SUKMA) Grand Prix Sports MSN-MILO dan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT).

Sementara itu, rakannya yang aktif permainan bola sepak buta, Muhamad Azuan pula berkata, bantuan YSD banyak meringankan perbelanjaan ayah dan ibunya.

“Sebelum ini, ibu dan ayah menanggung pengajian saya, tetapi sejak setahun lalu mereka tidak lagi berbuat demikian.

“Selain yuran dan perbelanjaan di kampus, saya juga menggunakan bantuan YSD untuk berulang ke pusat latihan dan membeli kelengkapan sukan,” katanya yang berasal dari Parit Buntar, Perak.

Muhamad Azuan yang banyak mengikuti perlawanan untuk Sukan Para ASEAN sejak 2014 nekad mahu menjadi atlet paralimpik profesional pada suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 10:29 AM