PELAJAR meraikan kejayaan selepas mendapat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di Sekolah Menengah Seksyen 8, Shah Alam. FOTO Sairien Nafis
Fazurawati Che Lah
Fazurawati@hmetro.com.my


MENGGUNAKAN konsep Touch ‘n Go (TnGo) untuk pengukuhan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadikan Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Seksyen 8, Shah Alam, Selangor terus mencipta kejayaan hatrik apabila berjaya mengekalkan kelulusan 100 peratus pada SPM 2018, seperti diraih pada 2016 dan 2017.

Program TnGo itu dipraktikkan kepada calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan pelajar bagi mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

Pengetua SMK Seksyen 18, Ahmad Kamal Idris berkata, program TnGo itu mempunyai keunikannya tersendiri sama seperti penggunaan perkhidmatan itu di luar iaitu ‘sentuh’ dan ‘jalan.’

Katanya, TnGo membentuk hubungan baik antara guru dan pelajar apabila setiap masalah berkaitan pelajaran akan ‘disentuh’ guru yang berkenaan iaitu panitia subjek.

“Sebenarnya TnGo ini merujuk kepada kelas tambahan, tetapi dijenamakan TnGo sesuai dengan pelajar zaman sekarang.

PELAJAR cemerlang menunjukkan keputusan masing-masing.

“Selepas habis waktu sekolah, guru panitia ini akan ditempatkan di stesen masing-masing dan bersedia untuk ditemui pelajar bagi tempoh ditetapkan.

“Mana-mana pelajar yang ragu dan berdepan masalah dalam subjek tertentu boleh berjumpa dengan guru berkaitan. Selain itu, latih tubi turut disediakan untuk membantu pengukuhan ke atas subjek berkaitan,” katanya ditemui selepas selepas Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2018 Peringkat Sekolah, minggu lalu.

Jelasnya, TnGo itu didapati membantu hubungan baik antara guru dan pelajar kerana kebanyakannya selesa berbuat demikian serta dijalankan dalam skala yang kecil.

“Saya mahu pelajar sentiasa mendekati guru dan tiada jurang untuk mereka berkongsi masalah dihadapi dalam membantu kecemerlangan pelajar itu.

GEMBIRA ibu kepada salah seorang pelajar cemerlang. FOTO Sairien Nafis

“TnGo adalah salah satu konsep untuk mencapai matlamat itu apabila didapati pelajar sentiasa bersikap terbuka dan holistik dengan guru” katanya.

Prestasi cemerlang yang diperoleh SMK Seksyen 18 itu menjadikan sekolah berkenaan antara lima sekolah asrama harian terbaik di daerah Petaling Perdana dengan peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) daripada 3.20 kepada 3.17.

Seramai 55 calon sekolah asrama harian berkenaan cemerlang dengan keputusan 11A diraih lima calon, 10A (empat calon), 9A (10 calon) dan 7A (20 calon).

Katanya, seperti sekolah lain, bengkel menjawab soalan turut dilakukan di SMK Seksyen 18 dan aktiviti itu dijalankan sejak awal ketika pelajar di tingkatan empat.

PELBAGAI reaksi semasa keputusan SPM 2018 baru-baru ini. FOTO Sairien Nafis

“Pelbagai bentuk bengkel menjawab soalan diadakan secara konsisten seperti Zadul Imtiaz sebagai persediaan kepada calon SPM sekolah bermula sejak awal ketika pelajar di tingkatan empat.

“Persiapan awal dilakukan bagi memudahkan guru mengenal pasti pelajar yang sederhana dan potensi untuk dibantu supaya tidak tercicir dalam akademik,” katanya.

Ahmad Kamal berkata, kejayaan sekolah itu yang kekal lulus 100 peratus selama tiga tahun juga hasil sumbangan komitmen berterusan daripada warga guru, pelajar, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa.

Katanya, pihak sekolah bersyukur apabila PIBG dan ibu bapa sentiasa membantu pihak sekolah terutama membabitkan calon peperiksaan hampir setiap tahun.

IBU bapa turut hadir memberikan sokongan kepada anak-anak mereka. FOTO Sairien Nafis

Beliau berkata, hal itu terbukti apabila ramai ibu bapa sanggup meluangkan masa dalam apa sahaja program atau aktiviti yang dijalankan pihak sekolah.

Katanya, beliau sangat bangga apabila ibu bapa dan guru dapat memainkan peranan masing-masing dalam meneruskan kelangsungan pembangunan sekolah, sama ada dalam akademik, kokurikulum serta aktiviti lain.

“Apa-apa saja program yang kita anjurkan, komitmen 100 peratus ditunjukkan oleh ibu bapa pelajar sekolah ini.

“Oleh itu, tidak menjadi masalah untuk kita mendapatkan sokongan mereka dalam membantu sekolah terutama dalam mencari sumber kewangan dan sokongan dalam perkara berkaitan lain,” katanya.

KELAS tambahan banyak membantu meningkatkan pemantapan akademik. FOTO Sharul Hafiz Zam

Ahmad Kamal berkata, program Suapan Kasih iaitu pemberian makanan percuma kepada calon dan pe­ngawas peperiksaan melalui peruntukan hasil sumba­ngan ibu bapa membuktikan komitmen berterusan daripada penjaga.

“Sepanjang sebulan peperiksaan SPM berlangsung, setiap hari ibu bapa bergilir sediakan juadah kepada calon.

“Keprihatinan ibu bapa ternyata memberi keselesaan kepada calon apabila mereka dapat menumpukan ulang kaji ke atas subjek peperiksaan pada hari itu,” katanya.

Selain sumbangan itu, terdapat ibu bapa yang berlatar belakang sebagai pendidik secara sukarela memberi tuisyen percuma kepada calon SPM pada sebelah malam.

Pada masa sama, keputusan SPM 2018 mencatatkan pencapaian yang lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.89 berbanding 4.90 pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 2:00 PM