GOBIND bersama pelajar dan tetamu yang hadir sempena majlis pelancaran program JomStudi di Pusat Internet Kampung Kering, Labu, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


MEWUJUDKAN silibus teknologi di sekolah antara pembaharuan yang akan dilaksanakan kerajaan bagi memenuhi keperluan pembelajaran digital pada masa depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya melihat kepada perkembangan teknologi yang menuntut bidang pendidikan negara maju ke depan selaras keperluan era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Katanya, kementeriannya sebagai pihak bertanggungjawab menyediakan infrastruktur teknologi komunikasi sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan bagi melaksanakan perkara itu.

“Ada perbincangan tapi belum ada keputusan yang dibuat mengenai sejauh mana ia hendak dilaksanakan.

“Kementerian saya bertanggungjawab membina infrastruktur yang membolehkan sekolah memulakan program teras teknologi. Mengenai pelaksanaan (silibus teknologi) itu di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan JomStudi di Pusat Internet Kampung Kering, Labu, di sini, Jumaat lalu.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif Astro Henry Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Digi Albern Murty dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, bagi membolehkan silibus itu dilaksanakan di semua sekolah termasuk luar bandar, pihaknya akan memastikan capaian Internet diperoleh dengan baik.

Beliau mengakui masih ada kawasan luar bandar tidak mempunyai capaian Internet namun kerajaan kini berusaha memastikan setiap kawasan mempunyai kemudahan itu melalui penyediaan infrastruktur teknologi.

“Kita beri penekanan penuh kepada perlunya infrastruktur di negara ini diperkembangkan supaya semua tempat ada akses Internet.

“Ketika ini, seluruh dunia bergerak ke arah digital, jadi ia memberi cabaran kepada kita bersedia ke arah itu dan bertindak segera,” katanya.

Katanya, semua lapisan masyarakat sama ada di bandar atau luar bandar tidak akan terpinggir daripada menerima arus teknologi pada masa depan.


GOBIND mendengar penerangan berkaitan penggunaan applikasi JomStudi daripada Kamal. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 3:27 PM