MENTERI Pendidikan, Dr. Maslee Malik (duduk kanan) pada sesi lawatan ke "Putra Future Classroom" di Universiti Putra Malaysia. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

INSTITUSI pendidikan perlu menjadi gedung ilmu yang paling membahagiakan dan pencetus kepada keinginan untuk terus belajar tidak kira peringkat umur.

Proses pembelajaran juga perlu berjalan dalam suasana menyeronokkan dalam usaha menyemai rasa cinta terhadap ilmu.

Universiti dan sekolah perlu menjadi tempat yang perbezaannya bukan saja dihormati tetapi dihargai dan diraikan.

Perbezaan itu merangkumi akses, kemampuan intelektual, kemahiran, sosioekonomi dan budaya serta pelbagai latar belakang yang dapat diterjemahkan melalui inisiatif dalam institusi pendidikan itu sendiri.

Bagi mencapai hasrat itu, institusi pendidikan perlu kreatif dalam mencari jalan untuk membina ruang dan peluang supaya pelajar dapat berinteraksi serta berintegrasi.


DR MASZLEE melihat salah satu teknologi PdP.

Sejajar dengan perkembangan teknologi dan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), sudah tiba masanya universiti di negara ini mereka bentuk semula ruang pembelajaran supaya dapat menyediakan lebih banyak peluang interaksi antara pelajar dan pensyarah dengan bantuan peralatan teknologi terkini.

Konsep kampus dan kelas pintar menjadi antara agenda yang sering diperkatakan dalam industri pengajian tinggi ketika ini.

Malah konsep kelas pintar yang menjadi sebahagian daripada inisiatif kampus pintar ini masih baharu dalam bidang pendidikan tinggi negara.

Bagaimanapun, sudah ada pensyarah mengambil inisiatif untuk mengaplikasikan perkara berkenaan dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) masing-masing, selaras dengan keperluan generasi pelajar hari ini yang lebih berorientasikan gajet dan teknologi.


PENUNTUT kurang upaya menerangkan teknologi PdP yang dihasilkan.

Menyokong keperluan itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Pengajian Pendidikan melancarkan Putra Future Classroom (PFC) sebagai salah satu inisiatif Kampus Pintar.

Ia bertujuan menyemarakkan ekosistem PdP berteraskan teknologi supaya menjadi lebih kondusif dan menyeronokkan bagi pelajar serta warga kampus.

Seiring dengan era IR 4.0 dan gagasan Pendidikan 4.0, PFC berfungsi sebagai pusat rujukan prototaip bilik darjah atau bilik kuliah masa depan yang menggunakan amalan terbaik pengintegrasian teknologi dalam pembelajaran serta pengajaran.


DR MASZLEE mencuba VR yang ada di PFC.

Menariknya, satu majlis pelancaran PFC diadakan dan disempurnakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di Auditorium Fakulti Pengajian Pendidikan UPM, baru-baru ini.

Ketika berucap melancarkannya, Dr Maszlee berkata, PFC adalah sebuah makmal PdP yang boleh membawa perubahan kepada falsafah, landskap dan ekosistem serta amalan terbaik dalam sistem pendidikan.

Katanya, pendemokrasian pendidikan melalui program, aplikasi

dan peranti yang dibangunkan adalah ke arah melahirkan rakyat terdidik dan berdaya maju.

Sehubungan itu, institusi pengajian tinggi dan syarikat swasta perlu berganding bahu mewujudkan aplikasi atau peranti untuk memudahkan PdP, antaranya bagi Bahasa Inggeris dan Matematik termasuk bagi kanak-kanak di peringkat prasekolah.


SEBAHAGIAN tetamu mencuba PdP yang dihasilkan.

Katanya, aplikasi yang mesra warga emas dan pesara juga boleh dibangunkan berdasarkan pembelajaran sepanjang hayat kerana tiada alasan untuk tidak perlu belajar apabila usia semakin meningkat.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris pula berkata, PFC menjadi pusat latihan, inkubator penghasilan bahan pembelajaran dalam talian dan pencetus inovasi integrasi teknologi dalam PdP.

Katanya, PFC dilengkapi teknologi terkini yang diperlukan dalam memperkasakan ekosistem pengajaran dan pembelajaran semasa.

“Ia menjadi perintis makmal pengajaran mikro berintegrasikan teknologi terkini dalam kalangan universiti awam (UA) seluruh Malaysia.

“Sejak diisytiharkan Februari 2017, PFC menjadi pusat rujukan dari pelbagai institusi pendidikan daripada pelbagai latar belakang.

“Selain menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan fleksibel, PFC memberi kelainan dalam ekosistem pembelajaran di fakulti berbanding bentuk kelas sebelum ini,” katanya.


BAHAN yang digunakan untuk PdP menarik dan kreatif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 2:11 PM