MPP UTeM dan Staf HEP bergambar kenangan sebaik selesai melukis mural.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus membuktikan keprihatinan melalui program khidmat komuniti dengan menghasilkan mural di dua sekolah sekitar daerah Melaka Tengah, baru-baru ini.

Bersempena Hari Sukarelawan Sedunia, universiti itu memilih Sekolah Kebangsaan (SK) Tengkera 1 dan SK Seri Bandar, Melaka bagi merealisasikan agenda berkenaan.

Program dua hari dengan kerjasama Majlis Sukarelawan Universiti Awam (MASKUM), Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTeM dan Exco Sukarelawan MPP itu membabitkan 27 mahasiswa yang terdiri daripada MPP UTeM.

Menurut Pengarah Program, Wong Kok Jing, aktiviti melukis mural sebahagian khidmat komuniti bagi melahirkan mahasiswa yang mempunyai minat dalam aktiviti sukarelawan untuk menyumbang bakti kepada masyarakat luar.


KREATIF dalam menghasilkan mural.

Jelasnya, penghasilan mural itu mempunyai tema yang ditetapkan Kementerian Pendidikan iaitu Love, Humanising Education, Happiness and Mutual Respect.

“Walaupun menghadapi kekangan masa sebagai mahasiswa dengan aktiviti akademik, namun kami berbangga dapat menghasilkan mural yang berkualiti,” katanya yang juga pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) UTeM.

Sementara itu, Penolong Pegawai Tadbir Unit Perhubungan dan Komunikasi Pelajar, Pejabat HEP UTeM, Hamzah Sirun berkata, program itu mendapat maklum balas baik daripada dua sekolah berkenaan dan menghargai sumbangan seni mural terbabit.

“Ternyata khidmat komuniti ini memberi impak positif kepada mahasiswa khususnya dalam memberikan sumbangan bakti kepada komuniti setempat dengan menggunapakai pelbagai ilmu dan kemahiran yang dimiliki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 12:49 PM