PENYERTAAN masyarakat luar dalam pertandingan dengan pelajar membentuk potensi diri.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

INSTITUSI pengajian tinggi (IPT) sentiasa menggalakkan pelajarnya mengikuti sebarang aktiviti kampus termasuk pertandingan. Pembabitan aktif dalam sebarang bentuk aktiviti menjadikan pelajar itu berdaya saing dan berinovasi.

Dari segi bentuk pertandingan pula, pelajar semestinya berdedikasi dan berusaha bergelar juara. Bagaimanapun, kebanyakan pertandingan pada peringkat IPT hanya merangkumi warga kampus sendiri atau kampus lain tanpa membabitkan masyarakat luar.

Seharusnya, IPT turut meluaskan penyertaan kepada masyarakat luar untuk sama-sama menonjolkan kreativiti, sekali gus memperoleh impak positif hasil persaingan sihat itu.

Mengulas lanjut, Pengarah Pusat Budaya dan Seni (PBS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Huzaidy Hussain berkata, persaingan dengan masyarakat luar menerusi pertandingan yang dianjurkan IPT memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan potensi diri.

Jelasnya, peluang untuk berkongsi pentas dengan masyarakat luar membolehkan mahasiswa itu mengetahui tahap kebolehan diri untuk bersaing.

“Kita tidak mahu mahasiswa hanya tertumpu kepada bentuk aktiviti pertandingan di dalam kampus dan sesama mereka sahaja.

“Buka peluang kepada masyarakat luar untuk berentap bersama pelajar, dari situ pelajar akan terdedah dengan cabaran yang lebih tinggi berbanding pertandingan sesama mereka,” katanya.


DR HENDRIK (tengah) bersama sekretariat Karnival 3K.

Beliau berkata, aktiviti itu juga bertepatan hasrat kerajaan untuk pelajar bergiat aktif dengan aktiviti kesukarelawanan ketika berada di IPT.

Katanya, selain program berbentuk pertandingan, aktiviti kemasyarakatan berupaya membentuk sahsiah pelajar seperti program komuniti dan khidmat masyarakat.

“Apabila ada pembabitan orang luar, pelajar dapat memahami persekitaran sebenar luar kampus dan ini akan membuka minda mereka untuk lebih menghargai masyarakat.

“Di samping itu, pelajar juga dibentuk untuk membuat keputusan tepat dengan orang lebih tua atau berpangkat apabila mereka akan belajar cara berkomunikasi dengan baik,” katanya.

Huzaidy berkata, bagi menyokong hasrat kerajaan itu, PBS UUM sentiasa menyediakan pelbagai aktiviti kepada mahasiswa.

Terkini, katanya, penganjuran Karnival Kebudayaan, Kesenian dan Keusahawanan (3K) yang menyaksikan pelbagai acara berbentuk seni, budaya dan usahawan untuk mahasiswa UUM serta masyarakat luar.

“Julung kalinya juga, sempena karnival 3K itu, PBS memberi sepenuh tanggungjawab menguruskan acara kepada pelajar.


ANTARA aktiviti Karnival 3K, pertandingan memasak yang turut disertai orang luar.

“Kita mahu melatih mereka untuk berkeyakinan ketika berkomunikasi, selain bijak dalam membuat keputusan,” katanya.

Karnival 3K Kali Ke-12 itu menyaksikan jumlah pengunjung hampir 20,000 orang.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Hendrik Lamsali berkata, pembabitan mahasiswa dalam Karnival 3K itu adalah wadah terbaik dalam mengekalkan dan mengeratkan hubungan antara kaum dengan perpaduan.

Menurutnya, wadah itu juga memperkuatkan tekad dan komitmen mahasiswa kepada pemerolehan ilmu serta mempertingkatkan peranan dan tanggungjawab dalam mencurahkan bakti kepada negara serta masyarakat, khususnya dalam bidang kebudayaan dan kesenian.

“Penganjuran karnival yang sudah menjangkau 12 tahun ini adalah selari dengan Wawasan 2020 dan Aspirasi Kementerian Pendidikan 2018-2023 untuk membangunkan Malaysia menjadi negara maju mengikut acuannya sendiri.

“Kita memiliki mahasiswa yang pandai dan hebat dengan pelbagai bakat seni, begitu juga alumni universiti yang memegang jawatan besar dalam organisasi rata-ratanya mempunyai latar belakang seni. Saya berharap pelajar hebat ini dapat menerima perubahan tetapi tidak mengabaikan nilai budaya dan berpegang pada moto UUM iaitu Ilmu Budi Bakti,” katanya ketika merasmikan penutupan Karnival 3K.

Beliau yang mewakili Naib Canselor berkata, mahasiswa akan berjaya dengan menerima perubahan, mempunyai kefahaman mengenai keusahawanan, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat dan mempunyai jati diri yang berasaskan nilai untuk berkhidmat kepada masyarakat.


DR HENDRIK (kanan) menyampaikan Anugerah Citra Jasa Bakti kepada Mohamad Usamah Ismail disaksikan Huzaidy (tengah).

Sementara itu, Pengarah Karnival 3K, Hanie Maisarah Ahmad Rasidi, berkata program julung kali yang dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa itu berakhir dengan jayanya apabila pelbagai acara menarik disediakan sempena karnival.

“Kami yang diberi penghormatan dan diangkat menjadi barisan utama dalam penganjuran program di universiti ini pastinya tidak akan mengecewakan, malah berbangga kerana dapat belajar dalam setiap program yang dijalankan,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan 3K yang merangkumi pelbagai elemen seperti kepemimpinan, keusahawanan, kebudayaan dan kesenian pastinya menguji mereka sebagai mahasiswa daripada universiti pengurusan tersohor di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 6:30 AM