KEHALUSAN seni budaya Thailand memukau penonton. FOTO fail NSTP
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


PELBAGAI tarian tradisional yang unik dipersembahkan mahasiswa Pusat Budaya dan Seni (PBS) Universiti Utara Malaysia (UUM) hingga memukau penonton Festival Seni dan Budaya Antarabangsa Selatan Thailand Pertama anjuran Rattaphum College Rajamangala University of Technology Srivijaya, Thailand (RMUTSV), baru-baru ini.

Persembahan itu sekali gus mengangkat martabat budaya dan meningkatkan kesedaran untuk melebarkan warisan budaya negara di rantau ASEAN.

Program itu disertai 15 universiti dari enam negara ASEAN yang menampilkan persembahan kebudayaan tradisional dan kreatif.

Pengarah PBS, Huzaidy Hussain berkata, penganjuran program itu menjadi platform terbaik kepada UUM untuk menyerlahkan bakat mahasiswa dalam bidang kebudayaan dan kesenian di persada antarabangsa.

Beliau berkata, UUM sentiasa menyokong program seperti itu kerana dapat menyerap inti pati warisan budaya, pengaruh dan pembangunannya dalam usaha menggalakkan pemahaman yang lebih baik serta penghargaan kepada budaya sebagai suatu warisan dunia.


TARIAN kreatif antara persembahan yang menarik pada malam itu. FOTO fail NSTP

“Festival ini turut menyediakan peluang kepada mahasiswa dan masyarakat terutama berkenaan seni serta budaya negara di rantau ASEAN.

“Penyertaan ini juga memberi peluang kepada mahasiswa UUM untuk menunjukkan bakat, di samping dapat bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman dengan pelajar dari universiti lain,” katanya.

Sementara itu, menurut Presiden Kelab Muzik, Mohamad Idhil Hashim, Kumpulan Combo UTAMA dan Kumpulan Tarian Bidasari terdiri daripada 18 pelajar mempersembahkan pelbagai jenis tarian asli dan kreatif yang merangkumi Zapin Pematah Hati, Dikir Rambong, Tarian Dikir Ria, Inang Capai serta Zapin Woye.

“Untuk mencapai objektif festival, setiap kumpulan perlu mempersembahkan muzik dan tarian negara masing-masing selain dikehendaki membuat persembahan selama 10 minit berasaskan budaya sendiri.

“Saya yakin festival ini memberi peluang terbaik untuk mahasiswa UUM mencari pengalaman dan pengetahuan lebih mendalam, sekali gus dapat membina semangat berpasukan dan pemikiran kritis yang lebih matang dalam mendepani cabaran dan saingan.

“Saya percaya dengan etika yang diterapkan melalui aktiviti kesenian ini, mahasiswa akan lebih berdisiplin,” katanya.


SERAMAI 18 mahasiswa UUM serlahkan bakat pada persada antarabangsa. FOTO fail NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 11:17 AM