PELAJAR dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), bergambar kenangan.
Siti Syahirah Suhaimi

SERAMAI 20 pelajar dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berpeluang menyelami keunikan dan sosiobudaya masyarakat di Indonesia dalam lawatannya ke Universitas Islam Batik Surakarta (UNIBA), baru-baru ini.

Kunjungan berkenaan diadakan bagi menjayakan program pertukaran pelajar antara UTeM dan UNIBA selepas memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara dua universiti itu.

Pengarah Pejabat Antarabangsa UTeM, Prof Madya Dr Md Nizam Abd Rahman berkata, menerusi program terbabit, peserta berkesempatan merasai suasana pembelajaran di negara jiran selain dapat mengenal budaya masyarakat asing.

“Di sana peserta dapat melihat realiti kehidupan rakyat Indonesia dengan lebih dekat menerusi pendedahan komprehensif seperti gaya hidup, budaya, bahasa dan aspek sosial masyarakatnya.

“Secara langsung, peserta turut dapat meningkatkan pelbagai kemahiran termasuk berkomunikasi dengan lebih baik apabila berinteraksi dengan pelajar mahupun orang

tempatan,” katanya.


BERPELUANG pelajari seni permainan muzik tradisional masyarakat Solo.

Peserta program lapan hari itu terdiri daripada pelajar Kelab Buddies yang dilantik daripada setiap fakulti di UTeM termasuk seorang pegawai pengiring dari Pejabat Antarabangsa universiti itu.

Sepanjang program, peserta berpeluang melawat beberapa tempat menarik antaranya Muzium Keraton Solo dan Yogyakarta, Pusat Herba di Tawangmangu yang juga fakulti UNIBA, sekolah di bawah Yayasan Batik Indonesia serta muzium kilang pemprosesan tebu ketika zaman penjajahan Belanda.

Dr Md Nizam berkata, pihaknya turut mengambil inisiatif mempelbagaikan aktiviti menarik untuk peserta bagi memenuhi sesi program sekali gus memanfaatkan lawatan dengan mantap dan berkesan.

Katanya, antara kegiatan yang dilakukan termasuk mempelajari seni permainan muzik tradisional masyarakat Solo iaitu gamelan, membuat dan melukis batik, mendalami tatanegara masyarakat di sana dan menelusuri sejarah peninggalan kerajaan lama di Solo.

“Ternyata kerjasama strategik antara UTeM dan UNIBA memberi impak positif kepada kedua-dua universiti dan pelajar.

“Oleh itu, kami amat berharap hubungan baik ini dapat dipelihara dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa supaya pelbagai kerjasama boleh dilakukan untuk kebaikan bersama pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 4:02 PM