Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

PASARAN kerjaya hari ini menanti graduan yang memiliki pelbagai kemahiran. Akademik bukan tidak penting, tetapi tuntutan zaman sudah berubah dan begitu juga persepsi majikan.

Personaliti seseorang graduan menjadi perkara penting yang turut diambil kira. Umpamanya, mahasiswa yang hebat dalam berkomunikasi menerusi pengucapan awam tentunya mampu menguasai pentas dan khalayak apabila berucap.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ghazali Din berkata, kini graduan perlu tampil berbeza berbanding orang lain meskipun menghadapi pelbagai cabaran serta halangan.

Katanya, potensi dan bakat diri boleh digilap tanpa meninggalkan penguasaan dalam bidang pengajian yang dipelajari.

“Akademik hanyalah teori yang mengukur kognitif seseorang. Realitinya hari ini, kemahiran insaniah dan nilai diri turut dipandang selain menjadi ukuran majikan,” katanya.

Katanya, ketika dalam pengajian, jadilah mahasiswa yang mempunyai nilai diri yang tinggi sebagai daya penarik kepada panel penemu duga.

“Lebih banyak aktiviti disertai dan jawatan dipegang, bermakna mahasiswa itu seorang yang bertenaga serta mampu berdaya saing jika diberikan tanggungjawab.


MPP membentuk kepemimpinan yang berwibawa.

“Alangkah ruginya jika mahasiswa tidak menggunakan saluran yang betul untuk menyampaikan pandangan kerana pelbagai ruang dan peluang disediakan di universiti untuk membolehkan mereka bergiat aktif,” katanya.

Dalam konteks pembangunan sahsiah dan kewibawaan mahasiswa pula, kata Dr Ghazali, saban tahun diadakan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA).

Lebih menarik pada tahun ini, mahasiswa diberi peluang menguruskannya bersama-sama pegawai universiti dan perkara itu mencerminkan ketelusan.

“MPP menjadi ‘gelanggang’ paling signifikan bagi mahasiswa memperjuangkan hak dan kebajikan mereka.

“Penganjuran pemilihan MPP menjadi bukti universiti memerlukan mahasiswa yang memiliki karisma dalam kepemimpinan untuk menyampaikan suara pelajar kepada pengurusan atasan secara berhemah dan beretika.

“Ini bermakna, ketika di universiti mereka dididik untuk menyampaikan mesej dan berhujah secara berhemah, malah menghormati pengurusan universiti. Budi bahasa dan akhlak tetap menjadi ukuran walaupun memiliki tahap akademik yang cemerlang,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan universiti tidak bersifat autokratik terhadap mahasiswa, sebaliknya menerima idea dan pandangan yang bernas demi kemajuan universiti serta sama-sama menggapai impian.


PELBAGAI pusat kemahiran disediakan untuk pelajar yang ingin menyambung pengajian.

“Selain MPP, mahasiswa turut disaran aktif di peringkat kolej kediaman. Setiap kolej terdapat jawatankuasa pelajarnya sendiri dan puluhan aktiviti dianjurkan.

“Setiap program dijalankan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran insaniah pelajar terutama dari sudut kepemimpinan dan pengucapan. Mahasiswa perlu proaktif serta dinamik menyertai pelbagai aktiviti,” katanya.

Dr Ghazali berkata, jika memiliki akademik cemerlang tetapi tidak pandai berkomunikasi, tidak berupaya menggembleng potensi diri, seseorang graduan sudah tentu tidak akan mampu menarik perhatian majikan.

“Di universiti, dalam ribuan penuntut, kita akan temui hanya beberapa individu yang begitu menonjol dalam aspek tertentu.

“Ada yang sejak semester satu lagi sudah mampu menjadi pengacara majlis dan akhirnya menjadi personaliti televisyen yang hebat walaupun hanya memiliki diploma atau ijazah pertama.

“Langkah Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan majlis Anugerah Tokoh Siswa sangat tepat kerana menjadi pemangkin melahirkan mahasiswa yang bukan saja hebat akademiknya, malah potensi diri terukir cemerlang,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Ghazali berkata, biarpun masih terdapat ramai yang tidak berjaya melanjutkan pengajian ke universiti, peluang menjadi insan hebat masih terbentang luas.


BABITKAN diri dalam pelbagai aktiviti kampus.

“Sebenarnya, bakat dan potensi diri harus dipupuk sejak tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah lagi. Di sekolah rendah, aspek kemenjadian dan pembangunan sahsiah perlu ditekankan seawal mungkin supaya di peringkat sekolah menengah, keperibadian terpelihara.

“Melahirkan insan bervisi dan bersemangat tinggi membuktikan kebolehan walaupun keupayaan akademik rendah. Latar belakang keluarga susah bukan halangan untuk menjadi insan hebat.

“Di sinilah guru dan pensyarah perlu memainkan peranan dalam memberi sokongan moral yang padu, malah Program Ziarah Cakna anjuran KPM sangat berkesan dalam menzahirkan tanda prihatin terhadap pelajar dan keluarga mereka demi menjayakan konsep sekolah penyayang,” katanya.

Katanya, selain memasuki universiti awam, politeknik atau kolej swasta, bagi yang tidak menguasai keupayaan kognitif, kerajaan menyediakan pelbagai pusat kemahiran seperti kolej komuniti, institut latihan perindustrian (ILP), pusat latihan di Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta di bawah Kementerian Belia dan Sukan seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).

“Natijahnya, kerajaan menerusi KPM memberi ruang yang luas untuk mahasiswa membangunkan diri dan personaliti mereka ketika mengharungi kehidupan kampus.

“Jadi, usah dibiarkan segalanya itu berlalu pergi dan akhirnya menjadi graduan yang tidak dipandang majikan. Percayalah, sekarang zaman graduan membina nilai diri selain akademik,” katanya.


AKTIVITI kemasyarakatan oleh pihak universiti membentuk sahsiah pelajar. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 4:13 PM