IBU bapa yang menyertai seminar mengajar anak dengan menggunakan modul diberikan.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

SELAIN sokongan guru di sekolah, bimbingan ibu bapa dalam proses pembelajaran anak penting bagi memastikan proses membaca, mengenal dan mengira (3M) berjalan lancar.

Sehubungan itu, Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares) dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent menganjurkan seminar Keibubapaan Modul Literasi Kreatif Kanak-Kanak.

Seminar itu bertujuan memberi peluang dan ruang kepada ibu bapa untuk mempertingkatkan pengetahuan dalam membimbing anak untuk membaca, menulis serta mengira di rumah.

Ini bagi memastikan kelangsungan pembelajaran anak yang bukan hanya terhad dalam bilik darjah, tetapi juga di rumah.

Pada seminar itu, ibu bapa didedahkan dengan teknik dan pendekatan mengajar kemahiran 3M kepada anak menggunakan Modul Tuninipot Literasi Kreatif. Melalui modul ini, ibu bapa dapat membantu anak menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi, seterusnya memperkembangkan kreativiti serta mencambahkan bakat serta idea yang terpendam dalam diri mereka.


IBU bapa melihat modul literasi.

Penyelaras program, Muhammad Eddy Piut berkata, seminar itu adalah perkongsian pintar bersama ibu bapa untuk memberikan pendidikan terbaik kepada anak di rumah khususnya kemahiran asas literasi dan numerasi.

“Seminar ini memberi pendedahan, pemahaman dan pengetahuan berkenaan pendekatan mengajar anak membaca, menulis serta mengira.

“Penganjuran ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dan kemahiran ibu bapa untuk bersama-sama guru mengajar kanak-kanak menguasai 3M di rumah,” katanya yang juga guru Prasekolah Institut IPG Kampus Kent, Tuaran, Sabah.

Seramai 80 kanak-kanak bersama ibu dan bapa, guru, pensyarah dan guru pelatih mengambil bahagian dalam seminar itu.

Menariknya, seminar itu membabitkan penyertaan ibu bapa bersama anak masing-masing yang memberi penekanan kepada teknik membimbing anak membaca, menulis dan mengira menerusi beberapa aktiviti dalam Modul Tuninipot Literasi Kreatif.


PESERTA diajar cara membantu proses pengajaran anak.

Seminar itu adalah sebahagian daripada inti pati Modul Tuninipot Literasi-Kreatif Kanak-Kanak Orang Asal Sabah yang dibangunkan Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr Mohd Nazri Abdul Rahman.

Program itu turut mendapat kerjasama daripada guru tadika dan prasekolah tempatan menerusi beberapa siri penyelidikan yang dijalankan di sekitar Sabah.

Menurut Dr Mohd Nazri, antara pengisian seminar itu adalah aktiviti awal membaca anak menggunakan kad lipatan kreatif Modul Tuninipot.

“Pada masa sama, seminar ini juga memberi peluang kepada ibu bapa bersama anak dalam aktiviti modul.

“Aktiviti ini bukan saja dapat mengeratkan hubungan ibu bapa dengan anak mereka, juga dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan anak membaca, menulis dan mengira yang memperkembangkan kreativiti serta bakat mereka demi kesejahteraan hidup,” katanya.


PESERTA menunjukkan modul literasi yang digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 3:42 PM