PERSEMBAHAN Citra Budaya yang kreatif.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

KARNIVAL Kebudayaan, Kesenian dan Keusahawanan (3K) kali ke-12 di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah bakal memberi dimensi baru kepada keseimbangan pembangunan mahasiswa.

Karnival 3K yang bakal berlangsung mulai 22 sehingga 27 Februari ini menyajikan lebih 15 aktiviti untuk pengunjung termasuklah pelajar dan warga kampus.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dr Abdul Malek Abdul Karim berkata, karnival itu memberi dimensi baharu yang lebih segar dengan ilmu pengetahuan menerusi pelbagai aktiviti dijalankan.

“Program 3K ini adalah platform menggilap bakat pelajar supaya dapat membentuk golongan siswa holistik yang menekankan pembangunan golongan itu secara seimbang.

“Malah program ini penting kerana kita mahu mahasiswa sentiasa aktif dengan ilmu dan pengalaman baharu dengan menunjukkan kemahiran insaniah mereka secara menyeluruh,” katanya.


BATTLE of the Band medan mencungkil bakat pelajar dalam bidang muzik.

Melalui karnival itu, katanya, pelbagai elemen seperti kepemimpinan, keusahawan, kebudayaan dan kesenian dapat ditonjolkan.

“Gabungan kemahiran berkenaan adalah satu langkah untuk mengasah bakat menjadi pemimpin kelak.

“Saya dapati aktiviti yang berbentuk bukan akademik amat penting dalam mentransformasikan potensi, kreativiti, bakat, inisiatif dan tanggungjawab sosial mahasiswa dengan memupuk dan membina pengetahuan berkaitan kemahiran, sikap serta nilai,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program, Hanie Maisarah Ahmad Rasidi berkata, program berkenaan yang julung kali dikendalikan sepenuhnya mahasiswa universiti itu pastinya membawa pelbagai acara menarik sempena karnival yang berlangsung.


DR Abdul Malek (tengah) menunjukkan poster Karnival 3K 2019.

Katanya, mahasiswa, pelajar dan orang ramai khususnya di Kedah serta utara tanah air diajak mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sambil menyaksikan pameran, jualan dan menyertai bengkel selain pertandingan yang akan dijalankan nanti.

“Setiap tahun, pihak urus setia merancang pelbagai aktiviti bagi memeriahkan karnival terbesar untuk warga kampus serta penduduk di utara tanah air,” katanya.

Katanya, pihak pengurusan universiti sentiasa memberi kepercayaan dan sokongan penuh dalam penganjuran dikendalikan mahasiswa, sekali gus memberi pengiktirafan kepada pelajar yang bakal mewarnai persada kepemimpinan negara.

Sempena program 3K ini, antara aktiviti yang akan dilaksanakan merangkumi Ekspo Niaga, Bazar Siswa, Pameran, kempen derma darah, Battle Music Vaganza MAKUM, pencarian Sintok King Chef dan Juara Malam Bintang Utara.

Pengunjung juga boleh mengambil peluang untuk mendapatkan khidmat kaunter bergerak antaranya Tabung Haji, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kaunter Suruhanjaya Pilihan Raya dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 3:21 PM