NURFATIN Syakirah menunjukkan rekaan inai. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

BIJAK mengembangkan potensi diri memberi peluang kepada Nurfatin Syakirah Abdul Hamid, 19, menambah pendapatan sampingan menerusi perkhidmatan berinai.

Masih mengikuti program kosmetologi di Kolej Vokasional Ekonomi Rumah Tangga (KVERT), Kuala Lumpur, Nurfatin Syakirah mengakui menjalankan perkhidmatan inai secara sambilan untuk menambah duit poket, juga memantapkan lagi bakatnya dalam seni kemahiran itu.

Tidak mahu mensia-siakan bakat yang ada, anak kelahiran Kuala Lumpur itu gembira apabila bakatnya mendapat kepercayaan orang ramai biarpun masih lagi bergelar pelajar.

“Perkhidmatan berinai yang disediakan semakin mendapat permintaan ramai. Saya banyak menerima tempahan berinai untuk majlis perkahwinan sejak tiga tahun lalu.

“Tugasan kolej yang padat tidak menghalang saya melakukan kerja ini, malah saya gembira kerana dapat meningkatkan kemahiran diri dalam kerja seni ini,” katanya.

Katanya, sering melakukan kerja berinai juga menambahkan lagi idea untuk menghasilkan lukisan inai yang lebih kreatif dan menarik.

“Saya perlu kreatif, jadi untuk mendapatkan rekaan inai terkini, saya selalu melayari Internet untuk melihat lukisan inai.

“Kebanyakan pelanggan sukakan fesyen inai yang ringkas tetapi menarik, bukan lagi lukisan inai penuh di tangan,” katanya.

Bercerita lebih lanjut, Nurfatin Syakirah berkata, minatnya dalam bidang berhias itu dicungkil sejak kecil apabila gemar melakar dan melorek inai untuk saudara serta keluarga.


CORAK menarik inai yang dihasilkan Nurfatin Syakirah. FOTO Mohd Yusni Ariffin

“Keluarga dan saudara antara pelanggan awal saya, selain rakan di asrama. Lantas menerusi permintaan itu, saya menyediakan perkhidmatan inai dengan harga serendah RM5 saja untuk sebelah tangan sehinggalah saya yakin untuk menawarkan pakej berinai mencecah hingga RM200,” katanya.

Malah kebolehannya itu turut menyebabkan dia nekad menyambung pengajian dalam bidang itu ke peringkat sijil kemahiran.

“Ramai beranggapan kerja berinai tidak memerlukan seseorang itu untuk belajar ke peringkat lebih tinggi.

“Tanggapan itu harus diubah kerana ilmu dipelajari bukan saja memantapkan lagi bakat yang ada, juga membentuk pembangunan insaniah dari pelbagai sudut untuk lebih berjaya pada masa akan datang,” katanya.

Jelasnya, sejak mengikuti program kosmetologi dan menjalankan khidmat berinai, kemahiran komunikasi serta keyakinan dirinya juga berjaya ditingkatkan.

“Saya lebih yakin untuk berdepan dengan pelanggan dan berupaya meyakinkan mereka dengan produk yang saya tawarkan.

“Setakat ini, kebanyakan pelanggan saya puas hati dengan perkhidmatan berinai dan ada yang berulang kali membuat tempahan,” katanya.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu pernah merangkul tempat pertama dalam pertandingan Kemahiran Terbuka Peringkat Kebangsaan 2018 anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti di Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 3:11 PM