KELAS ICT yang dikendalikan Ibrahim.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

GURU Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah gembira apabila berpeluang mengikuti Program Pertukaran Guru Korea- Malaysia (KOMTEP) dan berkongsi kemahiran teknologi maklumat (ICT) bersama pelajar Sekolah Tinggi Teknik, Seoul, Korea Selatan.

Ibrahim Ismail, 31, yang juga guru Bahasa Inggeris di KV Keningau berkata, Internet di negara Hallyu itu antara yang terpantas di dunia, tetapi pelajarnya hanya mempelajari asas komputer saja.

“Pelajar di sekolah saya ditempatkan hanya belajar Microsoft Office seperti Microsoft Excel dan Power Point dan kurang menggunakan perisian aplikasi maya di bawah Google.

“Berikutan capaian Internet mereka pantas, saya mencari peluang menyampaikan kemahiran berkenaan ICT kerana saya juga adalah Pendidik

Google Bertauliah (Certified Google Educator),”

jelasnya.

Katanya, rakyat Korea Selatan lebih gemar menggunakan sistem carian dikenali sebagai Naver yang dibangunkan khas untuk tulisan Hangul Korea.

“Bagaimanapun, Naver tidak dibangunkan selengkap aplikasi Google yang semuanya di bawah satu carian.

“Saya percaya kehadiran saya dapat menambah sedikit sebanyak ilmu ICT mereka dan menggunakan sepenuhnya kelajuan Internet yang ada untuk bekerjasama secara global dengan dunia luar,” katanya.

Katanya, sebagai Pendidik Google, dia berperanan meneraju idea Paperless School iaitu menggalakkan aplikasi digital bagi mengurangi pembaziran kertas dan meningkatkan produktiviti menggunakan sepenuhnya teknologi di bawah satu sistem.

“Sistem yang dikenali sebagai NEIS itu ialah satu aplikasi teknologi untuk berhubung, mendapatkan peruntukan kewangan, menghantar laporan dengan hanya menggunakan salinan lembut.

“Sekolah di Malaysia juga sedang mengorak langkah ke arah menggunakan aplikasi digital seperti pelbagai borang bercetak ditukar kepada Google Form, takwim Google Calendar dan tempahan kelas menerusi skedda,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut pengalamannya sepanjang di Korea Selatan, Ibrahim berkata, beliau mendapati pelajar sangat terbuka dalam mengenal budaya dan ilmu baharu.

“Walaupun mereka dari negara maju, tetapi tidak sombong, tunduk hormat dan bersungguh-sungguh belajar sesuatu. Mereka kurang fasih berbahasa Inggeris, tetapi sentiasa cuba untuk berinteraksi sehinggakan menggunakan Google Translator.

“Mereka tentunya rasa takjub bagaimana negara kita yang ada pelbagai bangsa, agama dan bahasa mampu hidup bersama dengan aman damai. Apatah lagi sistem pendidikan kita begitu hebat sehinggakan rakyat mampu menguasai lebih daripada satu bahasa,” katanya.

Beliau juga berbangga apabila program itu memberi kepercayaan kepadanya menganjurkan kelas khas bahasa Inggeris untuk guru Korea Selatan setiap minggu.

“Saya rasa disanjungi, selalunya mereka mengambil guru penutur jati yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama untuk mengajar pelajar, tetapi

saya pula bukan sahaja diminta untuk mengajar pelajar mereka, bahkan guru juga.

“Ini tentunya menarik kerana seorang guru ESL (bahasa kedua) mengajar guru EFL (bahasa asing).

“Saya faham ini adalah kelas bahasa, tetapi memandangkan KOMTEP juga adalah program membabitkan pertukaran budaya, saya mengambil peluang untuk berkongsi budaya Malaysia dan pada masa sama ingin mencedok pengalaman, budaya dan cara berfikir guru di negara maju itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 9:27 AM