SUKARELAWAN bersama warga rumah kebajikan Sri Sayang.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

MASYARAKAT luar bandar boleh ditambah baik untuk lebih berdaya saing sama seperti komuniti bandar. Jarak jauh dari kepesatan pertumbuhan ekonomi dan kemudahan asas kelas pertama, bukan penghalang jika penduduknya turut sama menikmati bentuk sokongan sosial daripada komponen masyarakat lain yang berkemahiran.

Menyedari hakikat itu, sekumpulan 29 mahasiswa Universiti Malaya (UM) dari Program Sains Pengurusan Alam Sekitar, Institut Sains Biologi (ISB), Fakulti Sains ‘turun padang’ ke Kampung Sentosa, Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor, baru-baru ini.

“Program anjuran kami ini bertujuan mendekati warga Kampung Sentosa melalui beberapa aktiviti, antaranya motivasi akademik, riadah bersama belia, malam kebudayaan dan pemindahan ilmu berkaitan alam sekitar.

“Kami juga berpeluang meluangkan masa bersama-sama warga emas di Rumah Kebajikan Sri Sayang,” kata Pensyarah ISB, Dr Rosazlin Abdullah yang juga Penyelaras Program.

Beliau berkata, sukarelawan berpeluang menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas dan mendekati kehidupan segelintir warga Kampung Sentosa yang serba kekurangan.

Katanya, lebih menarik, perkongsian kemahiran menghasilkan baja kompos daripada sisa makanan turut didedahkan kepada penduduk.

“Selain mendedahkan penduduk kampung mengenai pembaziran makanan, aktiviti ini juga memberi peluang kepada mereka untuk sama-sama berusaha melestari alam sekitar.

“Teknik yang kami gunakan turut menggabungkan daun kering dan ini secara tidak langsung membantu penjagaan kebersihan persekitaran,” katanya.

Penuntut tahun satu Sains Pengurusan Alam Sekitar, Ng Jia Xin berkata, pelbagai aktiviti menarik dilakukan bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Mashor, Batang Kali.

“Aktiviti yang dirancang menekankan kepentingan pembentukan fokus dan matlamat dalam melaksanakan sesuatu tugasan. Maklum balas peserta menunjukkan keberkesanan objektif aktiviti ini yang ingin mewujudkan semangat kerjasama dan sifat kepemimpinan dalam kalangan mereka,” katanya.

Selain itu, pelbagai acara seperti senamrobik, perlawanan bola sepak, acara sukaneka dan malam kebudayaan bersama penduduk turut diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 12:55 PM