SUKARELAWAN daripada Pertubuhan Sukarelawan Siswa UniSZA (PERSIS) bersama anak austisme.
Sarah Aina Shawal
sarah.aina@mediaprima.com.my

Peranan universiti hari ini bukan saja mendidik anak bangsa bagi mendapatkan pendidikan sempurna, tetapi juga melahirkan pelajar holistik dan berdaya saing.

Menyedari hakikat itu, universiti sentiasa memperluaskan agendanya dengan menjayakan pelbagai aktiviti membabitkan pelajar yang mampu memberi impak positif kepada mereka di dalam dan luar negara.

Pelbagai usaha direncana universiti kini antaranya melaksanakan aktiviti yang memberi pendedahan sebenar, selain membabitkan komuniti setempat bagi manfaat komuniti sekitar.

Pengarah Pusat Pembangunan Holistik Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Abdullah Ibrahim berkata, pihaknya mahu sentiasa bersama-sama masyarakat setempat bagi menjayakan pelbagai program untuk kebaikan mereka.


BAKTI siswa komuniti bersama masyarakat Orang Asli di Pos Sendrut, Kuala Lipis, Pahang.

“Kami tidak mahu masyarakat setempat di sini melihat universiti ini hanya sebagai pusat pengajian yang melahirkan pelajar sahaja, sebaliknya kami turut mengambil inisiatif mendekati kehidupan mereka dengan mendengar apa yang mereka perlukan sebagai sokongan.

“Bersesuaian dengan jolokan UniSZA sebuah ‘universiti komuniti,’ kami percaya aktiviti bersama komuniti bukan saja membekalkan pengalaman baharu kepada pelajar, tetapi memberi gambaran sebenar kehidupan di luar sana yang lebih mencabar sebagai persediaan kepada mereka sebelum tamat pengajian,” katanya.


PROGRAM Love For Revert memanfaatkan pelajar dan komuniti.

Beliau berkata, aktiviti ini juga bertepatan hasrat kerajaan untuk pelajar bergiat aktif dengan aktiviti kesukarelawanan ketika berada di institut pengajian tinggi (IPT) lagi.

Katanya, di UniSZA, pihaknya menjadikan aktiviti bersama-sama komuniti sebagai sesuatu yang perlu laksanakan sebagai tuntutan memenuhi pemarkahan dalam subjek hubungan etnik.

“Pelajar perlu menjalankan aktiviti membabitkan komuniti secara berkumpulan bagi melengkapkan subjek berkenaan yang dinilai sebanyak 30 markah dalam subjek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, dalam aktiviti ini, pelajar dinilai pensyarah dengan melihat keupayaan golongan itu mengendalikan aktiviti yang dirancang dan gerak kerja sepanjang program dijalankan.

“Dengan ini, pelajar dapat membiasakan diri berbincang dan berkomunikasi dengan ahli kumpulan dan sekiranya timbul masalah, bagaimana mereka menyelesaikannya” katanya.


CAKNA komuniti bersama penduduk kampung.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Azizan Abdullah berkata, Akademi Pembangunan Keusahawanan (MASMED) UiTM dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Selangor melancarkan program keusahawanan sosial.

Katanya, secara tidak langsung membuktikan universiti tidak hanya memberi fokus kepada pelajar, tetapi membabitkan komuniti dalam program dilaksanakan universiti sebagai keprihatinan universiti dengan masyarakat setempat.

“Usaha ini bagi membantu Muslimah mualaf berdikari dan mampu menjana pendapatan melalui keusahawanan.

“Sebagai pusat keusahawan UiTM, MASMED komited bukan saja membantu usahawan di peringkat universiti dan industri, malah kini mengorak langkah membantu komuniti sekitar untuk meningkatkan tahap ekonomi mereka,” katanya.


PROGRAM bakti siswa.

Program keusahawanan sosial itu, katanya adalah antara inisiatif MASMED untuk mempertingkatkan usaha mendekati masyarakat dengan mengadakan program keusahawanan dinamakan ‘Love for Revert’ bertujuan membantu Muslimah mualaf di Selangor yang disertai seramai 17 mualaf bersama-sama pensyarah dan kakitangan MASMED.

“Peserta bukan saja di beri taklimat ringkas program, malah didedahkan dengan konsep keusahawanan asas sebagai permulaan yang dijalankan secara berperingkat dengan latihan skil dan keusahawanan dalam memastikan usaha keusahawanan sosial ini lebih berkesan,” katanya.


GAMBAR dirakam selepas tamat program bakti siswa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 1:58 PM