TARIAN ini menerapkan pelbagai elemen asas dalam senamrobik. FOTO Mahzir Mat Isa
Mohd Khairul Anam Md Khairudin
khairul.anam@bh.com.my

Persepsi mahasiswa jurusan perubatan adalah pendiam dan ulat buku nyata tersasar apabila sekumpulan pelajar Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sungai Buloh berjaya menyerlahkan kehebatan mereka menerusi tarian aerobik seperti yang tular di media sosial.

Lebih manis, kumpulan UiTM Medic Aerodance itu juga dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan Medics Intervarsity Games (MIVG) 2018 yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Ketua pasukannya, Muhammad Ikhmal Azzarin Mohd Asri, 22, berkata, tidak terfikir di benak fikirannya apabila video ketika pertandingan akhir yang dimuat naik di laman Twitter menjadi tular sehingga mereka dikenali umum.

Mahasiswa jurusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan itu berkata, kejayaan dikecapi bukan datang bergolek sebaliknya memerlukan usaha gigih dan kerjasama padu setiap ahli pasukan apatah lagi mereka terdiri daripada tahun pengajian yang berbeza.

“Pemilihan lagu dan susunan gerak tari ditentukan sepenuhnya oleh saya sendiri, malah tidak berdepan banyak masalah kerana kebanyakan mereka (10 ahli kumpulan) memiliki asas tarian sejak sekolah.

“Cabaran paling utama ialah pengurusan masa kerana kami terdiri daripada pelajar tahun satu hingga lima dan sesi latihan pula dijalankan dua kali seminggu dalam tempoh sebulan,” katanya.


KUMPULAN UiTM Medic Aerodance dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan Medics Intervarsity Games (MIVG) 2018. FOTO Mahzir Mat Isa

Muhammad Ikhmal mengakui aktiviti riadah yang semakin digemari golongan muda itu turut membantu mengurangkan tekanan belajar, di samping dijadikan hobi pada masa lapang.

Sementara itu, Zihan Sahira Rahimi Ab Rahman, 22, menyifatkan kejayaan dimenangi itu adalah berdasarkan kriteria diperlukan juri, persefahaman dan pola lantai (formasi) yang tinggi oleh setiap ahli kumpulan.

“Tarian ini menerapkan pelbagai elemen asas dalam senamrobik seperti lompat bintang, larian setempat dan bangkit tubi yang menguji ketahanan badan seseorang.

“Bukan sekadar tarian semata-mata, tarian aerobik adalah aktiviti yang mampu menggalakkan budaya bersenam dan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 1:08 PM