ISHAK (depan empat dari kanan) bersama ahli kelab Myagrosis dan pelajar.FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Nur Izzati Mohamad
cnews@nstp.com.my

Berhasrat mengurangkan kebergantungan pelajar terhadap pekerjaan ‘makan gaji’ mendorong Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA) memperkenalkan Program New Breed Marketing Entrepreneur (NBME).

NBME adalah satu program pemasaran dalam talian yang mana pelajar terdiri daripada ahli kelab Myagrosis menjadi penjual semula (reseller) atau ejen dropship yang dilantik untuk mempromosi produk usahawan Industri Asas Tani (IAT) menerusi portal Agrobazaar Online.

Pengerusi FAMA, Ishak Ismail berkata, agensi itu komited dalam membangunkan minat pelajar terhadap bidang keusahawanan supaya mereka tidak hanya bertumpu kepada pekerjaan makan gaji, sebaliknya mewujudkan bidang kerja kepada individu lain.

Sehubungan itu, katanya, pelbagai inisiatif dilaksanakan FAMA dengan bekerjasama universiti awam dan swasta di seluruh negeri sehingga wujudnya NBME.

“Program ini kerjasama antara FAMA, ahli kelab Myagrosis dan usahawan IAT yang dilihat memberi impak sangat besar kepada semua pihak.

“Kini pelajar banyak terbabit dalam perniagaan dropship dan program ini mampu membimbing mereka dalam hal berkaitan pemasaran dalam talian serta membuka idea untuk perniagaan sendiri apabila tamat belajar kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program NBME Peringkat Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai (PSP), baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak, Pengarah FAMA Pulau Pinang, Habibah Sulaiman dan Pengarah PSP, Mejar (K) Mohd Fisal Haroon.

Sempena program NBME itu, FAMA turut memeterai kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi antaranya politeknik, kolej komuniti dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi mengadakan Cabaran Agrobazaar Online yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Cabaran itu bermula pada bulan ini hingga Jun depan dan mempelawa usahawan pertanian serta IAT yang bersedia menjadi pembekal produk atau dropship kepada usahawan NBME dari kalangan pelajar kolej atau universiti berkaitan untuk menyertainya.

Sementara itu, Mohd Fisal berkata, pihaknya menyeru pelajar mengambil peluang menyertai cabaran berkenaan kerana ia platform terbaik dalam usaha memantapkan diri menjadi usahawan.

“Saya yakin terlalu ramai pelajar berniaga secara dalam talian untuk mencari pendapatan sampingan dengan menjual produk orang lain atau barangan yang dihasilkan sendiri, justeru inilah masanya bagi menambahkan pengetahuan dan perlu dimanfaatkan bantuan ini sepenuhnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 12:59 PM