PELAJAR SK Convent Green Lane melihat hasil penyelidikan kumpulan SMK Air Itam.
Zuhainy Zulkiffli
cnews@nstp.com.my

Program Pendidikan Warisan Budaya (CHEP) berpotensi menjadi perintis dan platform dalam mempromosi warisan budaya tempatan kepada generasi muda menerusi pendekatan kreatif.

Tambahan pula, ia bukan saja menyasarkan pelajar sekolah sebagai peserta, malah turut menggalakkan pembabitan guru, pentadbir sekolah dan komuniti tempatan.

Pengurus Persatuan Pendidikan Seni Pulau Pinang (arts-ED) yang juga penganjur, Chen Yoke Pin berkata, program dengan kerjasama George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) itu bertujuan menyokong usaha pendidikan warisan budaya yang lestari dalam kalangan sekolah di negeri ini menerusi pembangunan dan latihan kepada guru sekolah.

Katanya, CHEP juga mampu menanam sikap, nilai dan daya saing sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab selain mempromosi aplikasi program yang berinovatif menggunakan suasana dan kaedah pengajaran kreatif.

“Terdapat dua komponen utama dalam CHEP iaitu Program Sekolah Budaya Warisan (SBW) yang menyasarkan guru sekolah serta pelajar dan lima Program Pendidikan Warisan Budaya merangkumi permainan, makanan dan kraf tangan tradisional, jejak warisan selain bengkel seni kreatif.

“Bagi SBW, ia menggunakan kaedah ‘Placed-Based Learning’ (PBL) apabila konsep pembelajaran dan pengajarannya membabitkan lokasi atau tempat, komuniti dan isu sebenar,” katanya.


PENERANGAN penyelidikan My Penang Hill - Tanah Runtuh tarik perhatian murid.

Yoke Pin ditemui pada majlis Pelancaran Lunak SBW di SMK Air Itam, Georgetown yang dirasmikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Timur Laut Mohamad Abdul Samat serta mendapat sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PPD Timur Laut.

Kini terdapat lima sekolah perintis di Pulau Pinang yang terbabit di bawah program SBW iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdullah Munshi, SMK Air Itam, SMJK Chung Hwa, SK Convent Greenlane dan SMJKC Perempuan Cina.

Sementara itu, Guru Penyelaras Projek Getaran Jiwa: P Ramlee dari SMK Abdullah Munshi, Clarina Anne Anthony berkata, guru bersama 25 pelajar tingkatan satu dan empat itu mengambil masa selama tiga bulan bagi menyiapkan tugasan mereka.

Tajuk projek terbabit dipilih berikutan terdapat pelbagai elemen budaya yang diketengahkan Seniman Agung P Ramlee dalam filem dan lagu serta mampu memberi nilai dan moral kepada pelajar.

“Sekolah kami yang berhampiran dengan Rumah Kelahiran P Ramlee memudahkan urusan pelajar membuat pemerhatian dan mewawancara orang yang mengenali seniman itu.

“Kami juga dibantu penyelidik dari Pusat Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) yang menjalankan kajian mengenai filem P Ramlee serta menjalankan bengkel bersama kartunis tempatan bagi menonjolkan karakter yang terdapat dalam filem,” katanya.

Bagi pelajar SMK Air Itam, Siti Balqis Mohamad, 15, berkata, dia berbangga dengan komitmen pengurusan masa yang diberikan 18 ahli pasukannya ketika menyiapkan projek bertajuk MyPenang Hill-Tanah Runtuh, walaupun hanya dalam tempoh singkat iaitu 12 hari.

“Pengalaman menemu ramah pasukan penyelamat dan pihak yang terbabit semasa runtuhan pada November tahun lalu amat menginsafkan dan memberi kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar kepada manusia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 8:06 AM