ZULKIFLI (kanan) bersama Zaitun (kiri)melihat Projek Penternakan Burung Puyuh.
Nur Izzati Mohamad
nurizzati@hmetro.com.my

Politeknik Seberang Perai (PSP) menyumbang projek taman khas dikenali sebagai ‘Adventure Education Park’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Jaya, Butterworth, Pulau Pinang sebagai alat bantuan mengajar untuk dimanfaatkan murid pendidikan khas di sekolah berkenaan.

Projek taman khas yang dilaksanakan sekumpulan pelajar tahun akhir institusi itu mencipta inovasi bagi sistem pemakanan haiwan ternakan untuk membantu pembiakan burung puyuh.

Pengarah PSP Zulkifli Ariffin berkata, beliau menyerahkan projek inovasi yang dihasilkan pelajarnya supaya boleh digunakan sebagai alat bantuan mengajar bagi membantu sekolah yang mempunyai murid pendidikan khas.

Menurutnya, inovasi terbabit juga dapat digunakan sebagai satu daripada projek keusahawanan yang dapat membantu dari segi kewangan pihak sekolah.

“Kami menyerahkan projek inovasi ini kerana tidak mahu berlakunya pembaziran, apatah lagi ia sangat berguna dan boleh membantu masyarakat khususnya murid pendidikan khas yang sememangnya memerlukan pembelajaran kreatif.

“Sehubungan itu, projek ini antara program tanggungjawab sosial (CSR) pihak PSP untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat dan berharap ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya,’’ katanya selepas majlis penyerahan alat bantuan mengajar terbabit, baru-baru ini.

Zulkifli berkata, projek berkenaan dilaksanakan sejak Februari tahun lalu dan sudah menjana pendapatan kepada pihak sekolah berkenaan.

Sementara itu, Guru Besar SK Seberang Jaya Zaitun Yahya berkata, beliau menyambut baik usaha sama antara pihak PSP dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) yang memilih sekolah di bawah kelolaannya bagi mewujudkan projek taman khas itu.

Katanya, lebih menarik projek inovasi itu membolehkan pihak sekolah menggunakannya untuk penyebaran ilmu berkaitan penjagaan burung puyuh dan keusahawanan.

“Murid pendidikan khas ini tidak sama seperti murid normal lain dan mereka memerlukan pembelajaran yang kreatif untuk menarik minat mereka belajar.

“Inovasi ini cukup membantu dan berguna kerana banyak ilmu dapat diperoleh murid pendidikan khas di sekolah ini yang mana merekalah seterusnya akan menguruskan projek ini bersama-sama guru,’’ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 8:05 AM