ATLET Universiti Putra Malaysia (UPM), Ahmaf Luth Hamizan berjaya meraih pingat emas acara 1500 meter lelaki akhir pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2018.
Sarah Aina Shawal
Sarah.aina@bh.com.my

Berpengalaman di peringkat antarabangsa dalam bidang sukan menjadi ‘modal’ untuk meraih kepercayaan dalam perniagaan berkaitan selain membantu mahasiswa mendapat pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan.

Menerusi persaingan kompetitif hari ini, mahasiswa perlu mencari alternatif bagi menonjolkan diri supaya lebih berdaya saing ketika menyambung pengajian di peringkat universiti.

Kelebihan itu juga dilihat majikan sebagai satu tiket dan nilai tambah atau bonus kepada mereka untuk memohon pekerjaan usai pengajian.

Pencapaian cemerlang dalam akademik saja tidak mencukupi untuk diterima bekerja oleh majikan tanpa pengalaman dalam berhadapan dunia kerjaya sebenar.

Graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian dan Keselamatan Komputer) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azim Afif Ishak berkata, pencapaiannya dalam aktiviti sukan di peringkat universiti sangat membantu dalam kerjayanya hari ini.

Berkongsi pengalamannya di peringkat universiti, minatnya cukup mendalam dalam aktiviti pendakian memberi peluang kepadanya untuk menyertai Pasukan Misi UTM Everest-Tibet ketika berada di semester satu.

Minatnya dalam bidang sukan lasak iaitu mendaki altitud tinggi berjaya membawanya sehingga merealisasikan impian untuk menawan puncak Gunung Everest yang berketinggian 8,848 meter.

Azim Afif berkata, pengalamannya ketika mengikuti sukan lasak itu sangat bermakna apabila pelbagai ilmu baharu dipelajari secara teori dan praktikal.


AZIM Afif tidak menyangka dengan hanya minat pada mulanya kini dia bergelar Perunding di Syarikat Peak Journey.

“Saya tidak menyangka dengan hanya minat pada mulanya, kini ia menjadi kerjaya utama saya. Walaupun memiliki ijazah dalam bidang berbeza, bagi saya ia tidak menjadi masalah sekiranya apa yang kita lakukan mempunyai kelayakan,’’ katanya.

“Sijil kursus pergunungan dan sijil pendakian gunung 8,000 meter menjadi ‘pemudah’ dalam kerjaya saya,’’ katanya

Berkongsi pengalamannya sebelum ke puncak Everest, beliau menjalani latihan pergunungan di Mt Blanc. Antara latihan yang dijalankan ketika berada di sana ialah mendaki laluan berbatu dan ais, latihan menyelamat di kawasan rekahan ais, teknik menyelamat dan pengurusan diri yang membantunya dalam ekspedisi ke sana dengan persediaan rapi.

Penerima Pingat Ahli Kecemerlangan Semangat Jerai Kedah tahun 2017 itu berkata, kursus berkenaan dikendalikan jurulatih bertaraf International Federation Mountain Guide (IFMGA) memberi pengalaman kepadanya mengikuti latihan di peringkat antarabangsa.

Katanya, pelbagai pengalaman mendaki ditimba ketika mengikuti aktiviti ini yang mempunyai cabaran dan risiko berbeza, antaranya ketika mengikuti ekspedisi ke gunung Cho Oyu di Tibet, dengan ketinggian 8,201 meter yang juga puncak keenam tertinggi di dunia.

“Sijil dimiliki ini sebagai bukti kepada pengalaman yang dapat membantu dalam bidang tugasnya kini dengan menyediakan perkhidmatan nasihat kepada sesiapa saja yang mahu melakukan aktiviti ini.

“Ini kerana mendaki gunung sentiasa terdedah dengan risiko tetapi memerlukan kerjasama antara kedua-dua belah pihak untuk memastikan semua ahli tidak mengalami kecederaan dan selamat pergi dan pulang,” kata Perunding di Syarikat Peak Journey itu.


BAGI Azim Afif, pendakian mempunyai cabaran dan risiko berbeza.

Sementara itu, perenang Olimpik negara, Leung Chii Lin yang juga graduan Universiti Malaya (UM) berkata, sejak di semester satu lagi dia sudah membuat perancangan masa depan untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dalam sukan yang dipelajari secara teori dan dipraktikkan dalam kerjaya sambilannya sebagai jurulatih renang.

Beliau yang memulakan kerjaya seawal semester satu mengaplikasikan apa yang dipelajari di dalam kelas, justeru sudah mempunyai banyak pengalaman sebaik saja tamat saja pengajian.

“Sejak berusia 18 tahun saya menyimpan impian membuka pusat renang sendiri dan dengan hanya belajar secara teori mungkin impian ini tidak akan tercapai.

“Adanya pengalaman secara praktikal dalam pertandingan yang disertai sehingga membawa nama universiti ke peringkat antarabangsa sedikit sebanyak membantu saya dalam usaha yang dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 3:56 PM