MAJLIS graduasi kakitangan Flex.
Nur Izzati Mohamad
izzati@hmetro.com.my

Syarikat elektronik ternama di Pulau Pinang, Flex mengambil inisiatif membiayai kos pendidikan untuk kakitangannya yang mahu menyambung pengajian dalam peringkat sijil dan diploma.

Inisiatif itu tercetus apabila syarikat berkenaan bekerjasama dengan Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM-SPACE) sejak tiga tahun lalu.

Kolaborasi berkenaan membuahkan hasil selepas mencatatkan kecemerlangan apabila seramai 400 pekerjanya kini sudah menamatkan pengajian dalam beberapa program sijil dan diploma yang ditawarkan.

Naib Presiden Flex Penang Malaysia, Viswanathan Paramasivam berkata, pihaknya memerlukan pekerja yang berdaya saing seiring memantapkan perniagaan yang sentiasa berdepan dengan cabaran.

“Oleh itu, pihak syarikat komited untuk melatih dan membangunkan pekerja di semua peringkat dengan menyediakan pelbagai program termasuk pengajaran dalam kelas dan talian, latihan kerja serta program pembangunan kepimpinan.

“Ini kerana, kita mahu melengkapkan kakitangan dengan kemahiran dan pengetahuan yang kukuh supaya mereka boleh menyumbang ke arah meningkatkan daya saing organisasi,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Kakitangan Flex, baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai 85 kakitangan Flex berjaya menamatkan pengajian mereka dianugerahkan sijil dan diploma. Selain UTM-SPACE, Flex juga turut menjalankan kerjasama bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Pengajian Politeknik (JPP).

Sementara itu, bagi beberapa pekerja Flex yang sudah meningkat usia diberi peluang belajar secara percuma tidak menjadi halangan untuk mereka menimba ilmu.

Siti Hajar Yusop, 53 yang sudah berkhidmat selama 26 tahun di syarikat elektronik itu pada mulanya diherdik dengan tindakannya yang mahu menyambung pengajian.

“Ramai yang kata saya sudah tidak sesuai untuk belajar pada usia ini tetapi saya tidak peduli, bahkan nekad mahu mencuba apatah lagi kos pengajian ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat.

“Ini adalah peluang keemasan yang diberikan pihak syarikat dan amat rugi jika saya tidak merebutnya yang mana hasilnya selama enam bulan saya dianugerahkan sijil dalam bidang pengurusan,’’ katanya.

Jelas Siti Hajar, dia yang berulang-alik dari Taiping, Perak ke Prai untuk bekerja dan menimba ilmu berasa cukup puas dengan pencapaiannya serta mahu menjadikannya sebagai pembakar semangat buat empat orang anaknya serta dua cucunya.

Bagi Salmah Abas, 54, dia tidak menyangka pada usianya diberi peluang untuk menyambung pelajaran.

“Dahulu saya sudah lama menyimpan angan-angan untuk belajar tetapi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperoleh tidak melayakkan saya untuk sambung belajar ke peringkat lebih tinggi.

“Bagaimanapun, program yang dilaksanakan Flex yang mengambil inisiatif menanggung semua kos pembelajaran untuk kakitangannya menjadikan saya kini seolah-olah berada dalam mimpi kerana mampu menggenggam segulung diploma,’’ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 3:56 PM