MOHD Zain (baju putih, tengah) bergambar di Wisma DRB-HICOM Shah Alam sebelum melepaskan peserta perkhemahan Alam Flora Nature Camp 2018 di Ulu Dong, Raub.

MASALAH iklim dan pemanasan global yang semakin kritikal kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan semua pihak. Justeru, inisiatif perlu dilakukan bagi menyelamatkan bumi khususnya memberikan kesedaran kepada generasi muda pentingnya menjaga alam sekitar daripada terus dicemari.

Sehubungan itu, Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) menganjurkan Alam Flora Nature Camp 2018 bertemakan Eco Superstar ‘There Is No Plan B’ #jomrawatbumi yang disertai 60 pelajar berusia 12 hingga 16 tahun di Ulu Dong, Raub, Pahang, baru-baru ini.

Program tiga hari dua malam itu padat dengan aktiviti yang disediakan pihak penganjur dengan modul dirangka berdasarkan penjagaan alam sekitar seperti perkhemahan, mendaki bukit dipenuhi ranjau belantara serta meredah sungai.

Di sebalik flora dan fauna yang indah itu, peserta turut diberi peluang menggilap kemahiran komunikasi secara berkumpulan menerusi pelbagai aktiviti riadah termasuk amazing race, paintball dan eco superstar walk.

Rata-rata peserta yang terdiri daripada anak kakitangan Alam Flora bukan eksekutif itu bukan saja meluahkan rasa gembira malah menyifatkan program itu amat bermanfaat bagi mengisi cuti persekolahan mereka.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil, Hulu Langat, Muhammad Amir Danish Mohd Syariff, 14, katanya, antara manfaat yang diperoleh dalam program itu, dia semakin menghargai pekerjaan ayahnya sebagai kakitangan pembersihan.


LALUAN berliku penuh ranjau ketika pendakian dilalui peserta.

“Bukan senang sebenarnya hendak memastikan alam sekitar bersih sekiranya kita tidak bertanggungjawab. Sekiranya kita berdepan situasi kotor, hamis dan berbau akibat pembuangan sampah tidak terurus, di mana pertimbangan kita?

“Adakah kita mahu bantu membersihkan kawasan itu atau sekadar melihat tanpa berbuat apa-apa? Itu antara yang peserta pelajari ketika menyertai amazing race apabila penganjur meletakkan bungkusan sampah di laluan tertentu.

“Saya bangga ayah bekerja membersihkan bumi. Apa pun, antara aktiviti yang membuatkan saya paling teruja ialah pertandingan paintball. Saya tidak pernah sertai sukan ini dan berasa bersemangat ketika pertempuran dengan pihak lawan,” katanya.

Dhia Batrisya Md Khirulnizam, 12, pula berkata, dia seronok melakukan persembahan lakonan muzikal berkumpulan bertemakan hijau yang mewajibkan setiap peserta dalam setiap kumpulan terbabit mencurahkan idea sayangi bumi.

“Saya juga teruja menyertai aktiviti kitar semula dan memberi nilai kepada barangan terpakai di mana peserta perlu mencipta beg serba guna daripada bahan terbuang seperti baju terpakai dengan kreativiti masing-masing.

“Secara tidak langsung kami dapat belajar cara kitar semula bahan terbuang menjadi benda berguna,” kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Anggerik, Seksyen 6, Shah Alam itu.


BERSEDIA dan bersemangat untuk bertempur dalam aktiviti paintball.

Bercita-cita menjadi saintis haiwan, anak sulung daripada tiga beradik hasil perkahwinan kontraktor Md Khirulnizam Yusof Anuar, 41, dan pensyarah kimia, Norjannah Yury, 40, itu berkata, pengalaman menyertai perkhemahan itu pasti dikongsinya bersama rakan lain.

Menyatakan perasaan sama, murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kajang, V Vijayraj, 12, menjelaskan pengalaman paling sukar dilupakan ialah melakukan pelbagai aktiviti luar bersama rakan baru dikenali.

“Cuma satu aktiviti saja saya tidak dapat sertai iaitu mendaki bukit dan meredah sungai di hutan kerana kesihatan tidak mengizinkan. Rugi rasanya sebab saya demam, tetapi tahun depan jika ada lagi program sebegini, saya tidak mahu lepaskan peluang untuk menyertainya,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, program Nature Camp kali ketujuh itu diadakan untuk membudayakan pendidikan mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dengan penerapan nilai murni kepada peserta.

Menurutnya, setiap peserta dari Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Pahang itu didedahkan kepada aspek pengurusan alam sekitar dengan bijaksana dalam kehidupan seharian selain disuntik rasa tanggungjawab ke arah kelestarian bumi.

“There Is No Plan B. Pemilihan tema kali ini bagi menjelaskan kepada anak-anak bahawa kita tiada pilihan selain menjaga bumi. Kita hanya ada satu bumi dan tiada tempat lain yang boleh menggantikan bumi ini untuk kehidupan kita sekarang.

“Kita mahu anak-anak ini memahami peranan mereka sebagai individu yang bertanggungjawab menjaga alam sekitar. Selain itu, mereka perlu faham bahawa tugas ibu bapa mereka di Alam Flora adalah mulia dan penting dalam membantu menjaga alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata, impak aktiviti perkhemahan itu mungkin tidak dapat dilihat dalam masa singkat namun objektifnya untuk jangka masa panjang melalui penyertaan lebih 500 peserta sepanjang program tahunan ini berlangsung. - Amir Abd Hamid

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 12:33 PM