DR SARALAH (empat dari kanan) dan Mohd Jahidi (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran buku Refleksi Kehidupan: Kaunseling Kelompok Bersama Penghuni Koreksional terbitan kolej berkenaan.
Abnor Hamizam Abd Manap
cnews@nstp.com.my

Seramai 18 penuntut Pengajian Jarak Jauh, Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama seorang pensyarah menghasilkan sebuah buku koleksi kajian kes koreksional yang pertama di negara ini.

Buku berjudul Refleksi Kehidupan: Kaunseling Kelompok Bersama Penghuni Koreksional itu diterbit dan diedarkan Kolej Komuniti Jempol.

Pensyarah Kanan, Program Psikologi dan Kaunseling, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, UUM, Dr M Saralah Devi berkata, buku itu hasil kajian penuntut di Pusat Koreksional Dungun membabitkan 110 penghuni.

Katanya, penghasilan buku itu menjadi sebahagian tugasan penuntut yang mengikuti pengajian peringkat Sarjana Sains Kaunseling di UUM.

“Buku ini memaparkan hasil koleksi kajian dijalankan berdasarkan aspek koreksional (pemulihan) dalam kalangan penghuni penjara yang terpilih.

“Matlamat utama penghasilan buku ini adalah berkongsi ilmu kaunseling dengan seluruh lapisan masyarakat dan sebagai sumber rujukan kepada pengkaji, guru, pelajar dan penggiat sosial,” katanya pada majlis pelancaran buku itu di Kolej Komuniti Jempol, baru-baru ini.

Pelancaran itu disempurnakan Timbalan Pengarah Akademik, Kolej Komuniti Jempol, Mohd Jahidi Rosdi.


DR SARALAH (kiri) dan Mohd Jahidi Rosdi (tengah) pada majlis pelancaran buku Refleksi Kehidupan: Kaunseling Kelompok Bersama Penghuni Koreksional di Kolej Komuniti Jempol.

Dr Saralah berkata, penghasilan buku itu diharap dapat memberi panduan berkenaan pelaksanaan intervensi (rawatan dan pemulihan), selain memaparkan isi hati dan perasaan penghuni koreksional.

Katanya, buku itu juga hasil dapatan kajian bertujuan untuk menambah baik modul intervensi, khususnya bagi penghuni penjara, selain dapat mengenal pasti mengapa mereka menjadi penghuni penjara.

“Kami juga sangat mengalu-alukan jika ada pihak lain yang menerbitkan buku ini dalam versi bahasa Inggeris atau apa juga bentuk penerbitan antaranya novel bagi tarikan pembaca lain,” katanya.

Sementara itu, penuntut yang juga Pegawai Psikologi Kolej Komuniti Jempol, Mohd Nazri Mohd Razali berkata, beliau gembira apabila cadangan untuk menerbitkan buku itu diterima pihak Kementerian Pendidikan (KPM).

Katanya, idea menghasilkan buku dicetuskan penuntut dan pensyarah yang sebelum ini kebanyakan hasil tugasan dibuang atau dilupuskan sebaik menamatkan pengajian.

“Kajian lapangan di Pusat Koreksional adalah satu pengalaman berharga yang jarang diperoleh dan atas sebab itu saya memberi cadangan untuk pihak kolej menerbitkan buku ini.

“Selama dua bulan, kami bertungkus-lumus menyiapkannya dan akhirnya berjaya direalisasikan walaupun kebanyakan penuntut terikat dengan tugas hakiki masing-masing,” katanya yang memegang jawatan sebagai ketua editor bagi penerbitan buku berkenaan.

Katanya, buku itu dijual dengan harga RM40 senaskhah dengan cetakan pertama sebanyak 300 buku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 7:46 AM