CHEW (empat dari kanan) bersama-sama penerima anugerah pada majlis Anugerah Kebangsaan Program Kanak-Kanak Panasonic.
Mohd Khairul Anam Md Khairudin
khairul.anam@bh.com.my

Bagi memupuk ekopendidikan dalam kalangan generasi muda melalui pengalaman secara amali, Panasonic Malaysia menganjurkan Anugerah Kebangsaan Program Sekolah Kanak-kanak Panasonic 2018 di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Menerusi program itu, pelajar dapat membangunkan kemahiran dan kreativiti tersendiri menggunakan peralatan video, sekali gus memperoleh pendedahan menyeluruh mengenai teknologi digital.

Pengurus Besar Jabatan Pemasaran Inovasi Panasonic Malaysia, Chew Keng Heng berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pendidikan syarikat itu diharap dapat memberikan kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan memelihara alam sekitar.

“Program ini secara tidak langsung dapat memperkasakan kemahiran kreatif pelajar menerusi video dan diari secara visual yang dihasilkan.

“Kami (Panasonic) juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menganjurkan lebih banyak program membabitkan golongan belia pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Hadir sama, Pembantu Penolong Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Norhayati Mustafa; Tenaga Pengajar Kid Witness News (KWN), Othman Hafsham dan Tenaga Pengajar Diari Eko Bergambar (EPD), Sabariah Mohd Zin.

Pada majlis berkenaan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Janggut, Pasir Puteh, Kelantan dinobatkan sebagai juara pertandingan KWN bagi kategori sekolah menengah, manakala Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua Buso, Bau, Sarawak bagi kategori sekolah rendah.

Pertandingan EPD pula dimenangi Zahra Mohamad Zaki dari SMK Sri Permata, Petaling Jaya, bagi kategori sekolah menengah dan Nur Atiqah Mohd Taufik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Mahmood 1, Kluang, Johor, bagi kategori sekolah rendah.

Pemenang kategori EPD, Zahra berkata, penekanan aspek penceritaan penting bagi memastikan mesej disampaikan dapat diterima pembaca.

Pelajar tingkatan dua yang meminati komik Manga itu turut berazam menyertai program sama pada masa hadapan dengan memfokuskan kepada elemen teknologi hijau.

“Inspirasi untuk menyediakan diari lukisan ini diilhamkan selepas saya mengikuti sebuah kem mengenai alam sekitar anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), awal tahun ini.

“Bagi menghasilkan lukisan diari yang baik, teknik warna dan susunan jalan cerita perlu dititikberatkan kerana kaedah itu dapat menarik minat pembaca terhadap sesebuah karya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 6:30 AM