ANTARA sebahagian pelajar tahun 6, Sekolah Kebangsaan Teruntum ketika mengambil keputusan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) dan Ujian Penicapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2018, di SK Teruntum. FOTO/FARIZUL HAFIZ AWANG
Sarah Aina Shawal

sarah.aina@mediaprima

UJIAN Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sejak tahun lalu tidak lagi menjadi pengukur kecemerlangan murid seperti yang sering dititikberatkan sebahagian besar masyarakat khususnya ibu bapa dan sekolah.

Mulai tahun lalu, Kementerian Pendidikan (KPM), menetapkan UPSR hanya terangkum sebagai satu daripada empat komponen dalam Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) bagi menilai prestasi murid secara keseluruhan.

Tiga komponen lain dalam PPSR termasuk Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Empat komponen berkenaan perlu diberi perhatian sama rata supaya murid bukan saja cemerlang dalam akademik malah turut menguasai semua aspek khususnya pembabitan dalam sukan dan aktiviti kokurikulum.

Pengarah Lembaga Peperiksaan (LP) KPM Adzman Talib berkata, PPSR bertujuan melihat kemenjadian murid secara keseluruhan iaitu dari segi akademik, pembabitan murid dalam pelbagai aktiviti dan pembangunan sahsiah murid.

Beliau berkata, keputusan yang diperoleh tidak lagi membabitkan calon yang memperoleh A dalam semua subjek UPSR tetapi turut mengambil kira komponen lain.


ANTARA sebahagian pelajar tahun 6, Sekolah Kebangsaan Teruntum ketika mengambil keputusan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) dan Ujian Penicapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2018, di SK Teruntum. FOTO/FARIZUL HAFIZ AWANG

Tingkat tahap penguasaan

“KPM berharap supaya ibu bapa dan murid berusaha untuk meraih tahap penguasaan atau kemajuan dalam semua komponen khususnya pembabitan murid dalam sukan dan kokurikulum,” katanya.

Selain itu, katanya, komponen PPSi pula melihat kepada minat, kecenderungan, bakat dan potensi murid yang perlu diberi penekanan kerana pentaksiran ini memperlihatkan perwatakan sahsiah serta keperibadian lebih baik berbanding tahun lalu.

Tahun ini, pencapaian calon PPSR menunjukkan peningkatan ketara dalam keempat-empat komponen, khususnya UPSR.

Antara yang menjadi tumpuan adalah jumlah calon yang memperoleh Gred E dalam semua kertas diduduki dalam UPSR berkurangan kepada 5,834 (1.37 peratus) calon, berbanding 6,663 (1.55 peratus) pada 2017.

Adzman berkata, pengurangan jumlah calon yang memperoleh keputusan semua E itu menunjukkan semakin ramai murid yang mampu menguasai tahap minimum di seluruh negara.


ANTARA sebahagian pelajar tahun 6, Sekolah Kebangsaan Teruntum ketika mengambil keputusan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) dan Ujian Penicapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2018, di SK Teruntum. FOTO/FARIZUL HAFIZ AWANG

Penyampaian berkesan

Sementara itu, jumlah calon yang memperoleh Gred A dalam semua kertas diduduki meningkat iaitu 8,993 atau 2.10 peratus pada 2018, berbanding 8,958 (2.08 peratus) tahun lalu.

Berdasarkan keputusan itu, antara elemen seperti PBD menunjukkan keberkesanan apabila pencapaian murid dalam UPSR meningkat dengan jumlah calon yang memperoleh keputusan semua Gred E berkurangan dan semua Gred A meningkat, sekali gus menunjukkan guru sudah memberikan penyampaian berkesan.

PPSR yang membabitkan pelaporan bagi empat komponen mula diperkenalkan pada 2017 bagi mengurangkan tumpuan keterlaluan kepada UPSR khususnya perbandingan antara sekolah dan murid.

Tahun ini, seramai 440,743 calon menduduki UPSR pada September lalu di 8,100 pusat peperiksaan, iaitu 430,031 adalah calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, manakala 10,712 pula calon sekolah swasta.

Adzman berkata, pembabitan murid dalam aktiviti seperti sukan dan kokurikulum turut meningkat berdasarkan keputusan PAJSK tahun ini dengan seramai 42,983 atau 9.9 peratus calon menunjukkan kecergasan sangat tinggi, berbanding 40,957 calon (9.5 peratus) pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 5:31 AM