DARI kiri Ahmad Aiman, Muhammad Hafizam Muhammad Alif dan Muhammad Noorsuffian.
Nas Norziela Nasbah
nasnorziela@bh.com.my

Meskipun diberi tempoh membuat latihan yang singkat apatah lagi pada minggu peperiksaan, ia tidak mematahkan semangat dua pelajar Kolej Vokasional (KV) Kuantan untuk menonjolkan bakat mereka dalam kategori ‘soccerbot’ pada Pertandingan World Robotics (WRC) 2018 peringkat kebangsaan, baru-baru ini.

Malah usaha mereka membuahkan hasil apabila pelajar tingkatan empat itu, Muhammad Alif Sohaimie dan Muhammad Noorsuffian Abdul Rahman diumumkan pemenang kategori berkenaan.

Kegembiraan berganda untuk mereka yang pertama kali mewakili KV Kuantan apabila penganjur menyediakan tiket ke Osaka, Jepun bagi menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa tahun hadapan.

Muhammad Alif ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan gembira tidak terhingga selepas diumumkan sebagai pemenang.

“Kami berusaha bersungguh-sungguh untuk menghasilkan reka cipta yang terbaik dan sememangnya mengetahui potensi ‘soccerbot’ yang dihasilkan menyaingi pasukan lain.

“Menerusi tunjuk ajar fasilitator, ‘soccerbot’ kami berjaya mengalahkan kumpulan lain dan ini pencapaian yang sangat membanggakan walaupun tempoh membuat persiapan agak singkat memandangkan kami baru saja selesai minggu peperiksaan,” katanya.

Kategori sekolah menengah

Sementara itu, dua lagi pelajar tingkatan tiga, Sekolah Menengah (SMK) Gombak Setia, Gombak, Selangor yang diwakili Ahmad Aiman Norazam dan Muhammad Hafizam Masril, turut mengiringi pasukan KV Kuantan ke Osaka selepas mengungguli WRC 2018 bagi kategori sekolah menengah.


DUA peserta dari SMK Seri Gombak berbangga dengan kemenangan.

Sebanyak 117 penyertaan membabitkan beberapa kategori seperti junior, sekolah rendah dan menengah turut dipertandingkan selain kategori khas ‘soccerbot.’

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pendidikan Zainuren Mohd Nor.

Turut hadir, Pengarah Urusan World Robotics Sdn Bhd Lee Yew Kein dan Timbalan Presiden Operasi Asia Pacific Universiti (APU) Gupardeep Singh.


ZAINUREN (tengah) ketika perasmian dan penyampaian hadiah.

Sahut cabaran Revolusi Perindustrian 4.0

Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) adalah satu konsep perindustrian yang kian hangat diperkatakan, namun masih ramai tidak memahami apa dimaksudkan dengan revolusi terbabit.

Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pendidikan (KPM) Zainuren Mohd Nor berkata, IR 4.0 adalah campur tangan yang sangat sedikit daripada tenaga manusia dan lebih banyak membabitkan sistem robotik yang dihubungkan secara tanpa wayar ke pelbagai tugasan terutama sistem komputer.

Beliau berkata, revolusi perindustrian bermula dengan kuasa air, stim dan mekanikal seterusnya elektrik dan pengeluaran massa.

Katanya, revolusi perindustrian kemudian tertumpu kepada bidang pengkomputeran, automasi dan elektronik yang dilalui dari 1760 hingga 2010.


ANTARA bengkel robotik microbit di sekolah rendah.

“Kini masyarakat dunia memasuki era IR 4.0 iaitu komputer dan sistem automotif bekerja bersama-sama dalam pendekatan yang baru.

“IR 4.0 juga membabitkan pelbagai bidang termasuk automasi, robotik, pengkomputeran awam,kecerdasan buatan (AI) dan Internet untuk segala-galanya (IoT),” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup World Of Robotics National Championship (WRC) 2018 di Asia Pacific University (APU), Kuala Lumpur, baru-baru ini.


PELAJAR SMK Bandar Baru Sungai Long menyiapkan robotik mini fan di Jelajah Pendidikan KPM 2018.

Menyahut cabaran

Kajian statistik di laman Twitter saluran media tempatan pada April lalu, menunjukkan 75 peratus daripada 800 responden tidak mengetahui berkenaan IR 4.0.

Disebabkan kurang maklumat, Zainuren berkata, ramai pihak bimbang IR 4.0 menyumbang kadar pengangguran semakin tinggi.

“Namun, apa yang ingin saya kongsikan di sini, masyarakat terutama generasi muda tidak perlu bimbang akan masa depan revolusi itu.

“Sebaliknya persiapkan diri untuk menyahut cabaran supaya kita sama-sama membantu membangunkan negara.

“Situasi ini kerana IR 4.0 akan membabitkan semua sektor tidak hanya meningkatkan produktiviti malah bakal menjadikan kos lebih rendah dan hasil melonjak berlipat ganda,” katanya.


DUA pelajar sekolah rendah ini tekun menyiapkan robotik ketika Jelajah Pendidikan KPM 2018.

Beliau berkata, pendidikan kejuruteraan robotik adalah satu daripada inisiatif positif dalam menyediakan anak muda untuk menghadapi cabaran membina kejayaan masa depan.

“Selain itu, revolusi ini menjadi medium kepada golongan muda untuk mencungkil bakat dan potensi masing-masing selari dengan misi kementerian untuk membangunkan potensi setiap pelajar bagi memenuhi inspirasi negara,” katanya.

Kejuruteraan robotik

Mengulas berkenaan pertandingan robotik yang dianjurkan, Zainuren berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan pihak swasta dalam menyumbang ke arah Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, pendidikan kejuruteraan robotik adalah satu daripada kaedah terbaik untuk mendedahkan anak muda dengan konsep dalam empat bidang terpenting (STEM).

“Kami berharap pertandingan WRC ini akan terus memupuk minat generasi muda dalam bidang kejuruteraan bermula pada usia muda,” katanya.


ZAINUREN (tengah) bersama pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 11:55 AM