PESERTA tekun mendengar penerangan berkenaan penyediaan bahan bagi pembuatan tong kompos.
Maria Uffa Zulkafeli
maria.uffa@bh.com.my

Dalam usaha menarik minat terhadap bidang kejuruteraan dan teknologi hijau, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) strategik berteraskan kejuruteraan lestari.

Program dengan kerjasama Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka itu dirangka untuk tempoh dua tahun bermula 30 Ogos lalu dengan hasrat menjadikannya sebagai program rutin tahunan pada masa akan datang.

Ketua Jabatan (Bahan Kejuruteraan), Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) UTeM Prof Madya Dr Noraiham Mohamad berkata, pengiktirafan Malaysia sebagai satu daripada hab pendidikan TVET di Asia Pasifik mendorong pihaknya untuk menyokong usaha kerajaan dalam menjamin kemampanan modal insan yang mempunyai minat dan berdaya saing dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.

Beliau berkata, statistik pelajar sekolah menengah yang memilih aliran sains semakin meruncing saban tahun sangat membimbangkan.

“Disebabkan itu kerjasama strategik ini menyasarkan pelajar tingkatan satu dari empat sekolah sekitar Melaka terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar dan Sekolah Menengah Sains (SMS) Muzaffar Syah,” katanya.

Menerusi program dua tahun itu, katanya, pelajar akan didedahkan secara berperingkat kepada bidang kejuruteraan dan teknologi, khususnya bidang Kejuruteraan Pembuatan melalui lima aktiviti berinovasikan Komposit Bahan Hijau untuk Pembuatan Tong Kompos.

Dr Noraiham berkata, tema terbabit dipilih sejajar dengan hasrat kerajaan Melaka sebagai peneraju Teknologi Hijau di bawah sasaran Sifar Sampah.


WAJAH gembira peserta ketika aktiviti Fabrikasi Tong Kompos di KKTM.

Katanya, penggunaan Bahan Hijau iaitu komposit gentian asli sebagai tong kompos dilihat sebagai suatu langkah bijak dalam menangani isu lambakan sampah dan pencemaran sumber air bersih ekoran resapan air toksik kesan tindak balas kimia sisa makanan serta pencemaran udara.

“Program ini bermula pada 30 Ogos 2018 melalui aktiviti Hari Kejuruteraan yang berlangsung di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal dengan pembabitan seramai 130 pelajar,” katanya.

“Pada program itu, peserta didedahkan kepada aktiviti kejuruteraan pembuatan merangkumi reka bentuk dan pencetakan 3D, robot, pemesinan termaju dan pembuatan komposit melalui pendekatan kreatif,” katanya.

Dr Noraiham berkata, program itu diteruskan di peringkat kedua pada 26 September lalu apabila Pertandingan Reka bentuk Tong Kompos berlangsung di FKP, UTeM.

Katanya, sebanyak 12 kumpulan terdiri daripada 60 pelajar membentangkan reka bentuk masing-masing kepada juri yang dilantik dari kalangan pensyarah UTeM-KKTM MT serta pegawai JPN Melaka.

“Aktiviti peringkat ketiga berlangsung pada 14 hingga 15 November lalu dengan Fabrikasi Tong Kompos di KKTM Masjid Tanah.

“Semua 60 pelajar daripada empat buah sekolah berkenaan telah merasakan sendiri pengalaman menghasilkan Komposit Gentian Asli melalui kaedah Bengkalai Tangan (Hand Lay-up),” katanya.


GAMBAR kenangan peserta, guru dan pensyarah UTeM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 11:33 AM