HAFIZUL Fadli (tengah) ketika menerima anugerah di atas pentas. FOTO NSTP
Maria Uffa Zulkafeli
maria.uffa@bh.com.my

Pembabitan secara aktif dalam pelbagai program dan aktiviti belia, melayakkan penuntut Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Sepang, Selangor menerima anugerah pingat emas bagi Anugerah Remaja Perdana 2018, baru-baru ini.

Penuntut semester akhir Jabatan Teknologi Mekanikal Pemesinan IKTBN Sepang, Hafizul Fadzli Ab Rahman, 23, adalah penuntut pertama Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) diberi pengiktirafan emas berkenaan.

Hafizul Fadzli berkata, walaupun sibuk dengan pelbagai tugasan termasuk menyiapkan projek tahun akhir, ia bukan halangan untuk terbabit secara aktif dalam program belia.

Beliau yang berasal dari Lumut, Perak itu bergiat aktif dalam sukan ragbi dan pelbagai kejohanan sukan yang lain.

Katanya, peluang yang disediakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda itu mendorongnya menjadi belia yang lebih proaktif, selain memberi nilai tambah sebelum melangkah masuk ke alam pekerjaan.

Rebut peluang

“Menerusi platform ini, saya turut berpeluang terbabit dengan badan bukan kerajaan (NGO), persatuan belia dan pelbagai syarikat swasta dalam pelbagai program yang dianjurkan mereka,” katanya selepas majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda, di Cyberjaya, baru-baru ini.

Beliau berkata, semua belia harus merebut peluang seumpama itu sebagai satu kredit untuk bersaing secara sihat.

Hafizul Fadzli berkata, banyak kerja kemasyarakatan dan sukarelawan yang semakin tidak diendahkan oleh belia berikutan kesan daripada penggunaan gajet dan akses media sosial tanpa batasan.

“Budaya tidak sihat ini jika tidak ditangani dengan baik, tidak mustahil negara bakal ketandusan pemimpin yang mempunyai jati diri, berdaya saing dan berkarisma pada masa depan.

“Apapun, saya bersyukur dengan anugerah ini dan bimbingan mentor yang banyak membantu dan memberi sokongan moral sepanjang menjalani program belia ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan IKTBN Sepang, Hairul Riduan Abdullah berkata, IKTBN Sepang sudah menubuhkan badan operasi Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda sebagai satu inisiatif melahirkan belia kemahiran yang berketrampilan untuk dibekalkan kepada industri.

Beliau berkata, antara komponen yang dinilai dalam anugerah berkenaan ialah khidmat masyarakat dan sukarelawan, kemahiran, rekreasi fizikal, penjelajahan lasak dan projek penempatan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 11:25 AM