SAZALI (belakang lapan dari kiri dan Salmah (belakang sembilan kiri) bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Kecemerlangan SMPKVSA 2018. FOTO Nurul Syafina Jemenon
Mohd Khairul Anam Md Khairudin
khairul.anam@bh.com.my

Bagi mempersiapkan pelajar dengan kecemerlangan akademik, kokurikulum dan bersahsiah tinggi, penerapan nilai murni dalam aspek kehidupan adalah penting, selain perlu dimulakan sejak dari awal lagi.

Menurut Timbalan Pengarah Cawangan Program Pendidikan Khas, Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan (KPM) Salmah Jopri, agenda utama pendidik adalah untuk menyalurkan ilmu pengetahuan, selain memberi penekanan kepada aspek seperti kokurikulum, sukan dan pelbagai kemahiran dalam kalangan pelajar.

“Penguasaan ilmu dan keterampilan saja tidak mencukupi sekiranya nilai murni tidak dijadikan pedoman, oleh itu nilai agama, moral dan semangat perpaduan menjadi petunjuk kepada generasi muda untuk menempuh kehidupan yang penuh cabaran.

“Bagi melahirkan pelajar seimbang, tumpuan tidak hanya diberikan kepada pencapaian pelajar dari segi akademik semata-mata. Sebaliknya perlu diimbangi dengan perkembangan dalam aspek keperibadian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam (SMPKVSA) 2018, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir, Penolong Pengarah Unit Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor Idayu Irdawanty Muhandar, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana Abdul Ghaffar Bakar, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMPKVSA Datuk Che Yazid Che Seman serta Pengetua Cemerlang SMPKVSA Sazali Mohd Karli.

Pelajar tingkatan lima SMPKVSA, Asuvini Gobi dipilih menerima Anugerah Khas Pengetua atas pencapaian cemerlangnya dalam bidang kurikulum dan kokurikulum.

Anugerah Mokhtar Dahari dan Anugerah Bestari pula masing-masing diberikan kepada Muhammad Danish Jasni serta Saleha Khamis.


SALMAH (dua dari kiri) menyampai Anugerah Khas Pengetua kepada Asuvini. FOTO Nurul Syafina Jemenon

Bagi Asuvini, anugerah yang diterima itu adalah hadiah bermakna buat kedua-dua ibu bapa dan guru yang banyak membantunya selama ini.

Anak kedua daripada lima beradik itu berazam berusaha bersungguh-sungguh bagi meraih lebih banyak kejayaan membanggakan pada masa akan datang.

“Terima kasih kepada ibu bapa, keluarga dan guru yang banyak membantu sehingga berjaya memperoleh anugerah ini, oleh itu saya mahu pastikan lebih banyak pencapaian terbaik diraih selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 11:18 AM